Berita

Peningkatan gaji 15 hingga 42.7 peratus untuk penjawat awam – Fahmi

- Diterbit 7 Ogos 2024 4:54 PM MYT

PENJAWAT awam dijangka menerima peningkatan pendapatan atau gaji sekitar 15 hingga 42.7 peratus menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Dalam sidang media di sini hari ini, beliau berkata gambaran secara umum berkenaan peningkatan yang tinggi khususnya membabitkan kumpulan pelaksana itu akan dapat dilihat pada minggu depan.

“Insya-Allah, bermula minggu depan. Kita akan dapat gambaran secara umum peningkatan pendapatan atau gaji penjawat awam dijangka sekitar 15 hingga 42.7 peratus.

“Peningkatan ini bagi kumpulan pelaksana dijangka paling tinggi manakala bagi kumpulan ketua setiausaha (KSU) atau Ketua Pengarah Penerangan (misalnya) lebih sederhana,” katanya.

Fahmi berkata perincian, terutama dari aspek jumlah yang perlu diperuntukkan bagi kenaikan gaji penjawat awam akan dapat diteliti dalam dokumen Belanjawan 2025 nanti.

Beliau berkata mesyuarat Jemaah Menteri hari ini juga membincangkan isu kenaikan gaji bagi penjawat awam, khusus berkait Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 pada 16 Ogos ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua penjawat awam memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat selari dengan pelarasan gaji yang akan diumumkan kerajaan.

Sementara itu, Fahmi berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) masih meneruskan usaha pendaftaran syarikat bagi program Dasar Gaji Progresif.

“Sekiranya ada syarikat swasta yang belum mendaftar dan ingin mendaftar boleh daftar dengan KESUMA. (Ini) usaha kerajaan MADANI bukan sahaja bertujuan meningkatkan pendapatan penjawat awam tetapi juga membantu sektor swasta,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas