MASALAH parkir di Kuala Lumpur seolah tiada noktah penghujung apabila perkara tersebut masih membelenggu warga kota saban hari.
Perkara sama turut dialami salah seorang peniaga di Pusat Penjaja Bandar Sri Permaisuri, Umi Kalsom Zakaria, 41, yang menyatakan terdapat segelintir penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan strata berdekatan mengambil kesempatan memarkir kenderaan di parkir yang dikhususkan untuk pelanggan pusat penjaja tersebut.
“Parkir pelanggan pusat penjaja ini sebanyak 64 lot tapi boleh dikatakan keseluruhan dibolot oleh segelintir penghuni yang memarkir kenderaan mereka di sini.
“Situasi ini sekali gus menimbulkan ketidakselesaan buat pelanggan kami kerana mereka perlu berpusing-pusing untuk mendapatkan parkir dan akhirnya terpaksa terpaksa double park.
“Dalam masa yang sama, mereka perlu makan dengan cepat kerana bimbang kereta yang diparkir menghalang laluan,” ujarnya yang mencadangkan pihak agar diwujudkan parkir berpalang di kawasan tersebut untuk mengurangkan masalah parkir.
Tambahnya, dia pernah mengusulkan pembesaran ruang parkir kepada pihak bertanggungjawab dan berharap perkara tersebut dapat dipertimbangkan kerana bimbang kehadiran pelanggan dan jualan peniaga terjejas dengan keadaan tersebut.
“Kawasan parkir baharu perlu dibina di ruang tanah yang kosong bersebelahan dengan kawasan parkir pusat penjaja tersebut, namun difahamkan ia masih tidak dapat dilakukan kerana kawasan tersebut berstatus sebagai kawasan hijau (green zone),” ujarnya kepada Wilayahku.
Walau bagaimanapun, Umi berterima kasih kepada pihak bertanggungjawab yang terlibat dalam menambah baik fasiliti di kawasan Pusat Penjaja Bandar Sri Permaisuri ini.
“Pada bulan Disember 2022, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada mengunjungi gerai kami di mana ketika itu beliau meluluskan permohonan untuk mendapatkan bumbung tambahan di ruang terbuka.
“Baru-baru ini menerusi Program Lestari Niaga@Kuala Lumpur kami berjaya mendapatkan bumbung tambahan tersebut dan jelas menunjukkan keprihatinan beliau dalam menaik taraf penjaja kecil di sekitar ibu kota ini,” jelasnya bumbung tambahan yang dianggarkan berukuran 15 meter (m) lebar dan 155m panjang itu siap sepenuhnya dipasang oleh pihak kontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Julai lalu.- WILAYAHKU