Berita

Peniaga cakoi bantu mangsa banjir turut terima sumbangan untuk diinfak

AHMAD Munzir Shahril dibantu isterinya Nurul Farah Hamizah, menyediakan kuih cakoi di gerainya Cakoi Krabi di Taman Desa, Jenderam Hilir untuk diinfaqkan kepada mangsa banjir di sekitar Dengkil. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 26 Disember 2021 5:32 AM MYT

NIAT pasangan suami isteri yang menjual cakoi pada mulanya ingin menyedekahkan makanan jualan mereka kepada mangsa banjir di sekitar Dengkil membawa berkat kerana orang ramai turut menyumbang yang membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan.

Ahmad Munzir Shahril, 41, berkata beliau dan isterinya terfikir untuk menghulurkan cakoi infak dengan modal sendiri bermula Isnin lepas (20 Dis) kerana simpati dengan mangsa banjir yang sukar mendapat makanan, lebih-lebih lagi kepayahan itu pernah dirasai sendiri.

“Kesusahan yang dialami sendiri dulu ketika banjir sukar mendapat makanan membuatkan saya nekad menolong mereka yang terkesan sekarang. Dulu banjir saya tolong orang bersihkan rumah tetapi sekarang saya boleh sedekahkan makanan kerana ada kepakaran memasak,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ahmad Munzir berkata cakoi yang telah digoreng akan dihantar ke rumah mangsa banjir selain pusat pemindahan sementara (PPS) kerana kebanyakan mereka pulang ke rumah masing-masing menjenguk kemusnahan selepas banjir.

“Mangsa banjir yang berada di rumah untuk kerja pembersihan sukar mendapat makanan kerana sibuk bersihkan rumah selain tiada kenderaan untuk bergerak kerana sudah dimasuki air. Oleh itu saya nekad menginfakkan cakoi jualan saya dan menghantar dari rumah ke rumah. Walaupun tidak seberapa saya harap cakoi ini dapat mengalas perut mereka sebelum menyambung kembali tugasan membersihkan rumah,” katanya.

Ahmad Munzir berkata beliau tidak menyangka niat untuk memberi cakoi infak kepada mangsa banjir turut mendapat perhatian orang ramai selepas dikongsi di laman sosial.

“Selepas itu ramai hantar mesej tanya bagaimana untuk menyumbang kepada mangsa banjir. Kebanyakan sumbangan diterima daripada pelanggan tetap dan peniaga pasar tani dan saya berjaya mendapat kira-kira RM1,000,” katanya.

Katanya sumbangan itu membolehkan beliau dan isterinya menghulurkan bantuan lain selain cakoi seperti air minuman, makanan kering dan pampers.

“Ada beberapa kawasan yang kami pergi mangsa banjir minta lauk untuk makan tengah hari dan kampung Orang Asli di belakang Sekolah Agama Jenderam Murni penduduk tidak mendapat apa-apa bantuan minta pampers dan air minuman. Jadi sumbangan yang kami terima itu kami cuba untuk membantu seberapa yang boleh,” katanya.

Katanya banjir sejak 18 Dis lepas turut memusnahkan gerainya, Cakoi Krabi yang dibuka sejak 2003 di Taman Desa, Jenderam Hilir dan peralatan memasak seperti kuali dan bekas turut dihanyutkan air.

Oleh kerana paras air masih tinggi dan tidak dapat berniaga, Ahmad Munzir berkata situasi itu tidak menghalangnya menyediakan cakoi kepada mangsa banjir kerana kerja menggoreng dibuat di depan rumah.

Isterinya Nurul Farah Hamizah, 25, pula berkata sumbangan orang ramai menaikkan semangat mereka kerana boleh membantu lebih ramai orang yang terjejas.

“Mangsa banjir di rumah lebih terjejas dan memerlukan bantuan terutama makanan berbanding mereka di PPS kerana semua peralatan memasak musnah dan tiada barangan elektrik berfungsi,” katanya.

“Dalam sebungkus kami letak 12 keping cakoi bercampur-campur antaranya baby cakoi, pau kacang merah, cakoi cheese dan oreo serta cakoi panjang. Sehari, kami mampu sediakan 100 bungkus kira-kira untuk 70 keluarga,” kata ibu kepada dua cahaya mata berumur empat dan satu tahun.

Beliau berkata ketika cakoi itu diagihkan kepada penduduk sekitar yang terjejas musibah banjir pada waktu petang, hanya ungkapan Alhamdulillah kedengaran kerana masing-masing kelaparan kerana sibuk mencuci rumah dan barangan yang disaluti lumpur. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas