PENGURUSAN golongan Pendatang Asing Tanpa Izin pemegang Kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) adalah berpandukan kepada Arahan Majlis Keselamatan Negara No.23: Mekanisme Pengurusan PATI Yang Memegang Kad UNHCR yang berkuat kuasa sejak 24 Ogos 2009.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata buat masa ini Kerajaan Malaysia tidak mempunyai akses kepada maklumat yang lengkap dan terperinci, fakta keberadaan golongan berkaitan serta kesahihan data yang dilaporkan oleh UNHCR.
“KDN menjelaskan bahawa Tracking Refugees Information System (TRIS) diperkenalkan bagi mengumpul data demografik dan biometrik individu yang didaftarkan sebagai “pelarian” oleh UNHCR untuk tujuan kawalan, perancangan, pemantauan dan penguatkuasaan.
“Pelaksanaan Program Pendaftaran PATI melalui TRIS telah bermula dari tahun 2018 dan tamat pada 10 Januari 2024,” katanya.
KDN berkata demikian ketika menjawap soalan yang dikemukakan Syerleen Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) menerusi sesi jawapan lisan di parlimen.
Jelas KDN, selaras dengan penambahbaikan Arahan MKN No.23 (Semakan 2023) yang telah menetapkan peranan dan tindakan yang perlu diambil oleh agensi Kerajaan yang terlibat dalam mengendalikan pelarian, KDN sedang menambahbaik mekanisme pendataan kepada golongan ini.
“Di samping itu juga, Kerajaan Malaysia sentiasa membuat libat urus bersama UNHCR dalam mencari penyelesaian berkenaan pengurusan pelarian di negara ini.
“Antaranya mengemukakan laporan pendaftaran pelarian kepada Kerajaan Malaysia secara bulanan serta melaksanakan program perkongsian kapasiti (capacity sharing) yang disertai pegawai-pegawai dari agensi-agensi Kerajaan bagi memberi pendedahan dalam aspek proses pendaftaran pelarian yang dilakukan oleh pihak UNHCR dan juga proses penentuan status pelarian.
Menurut KDN, Malaysia adalah bukan negara anggota kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan atau Protokol Mengenai Status Pelarian 1967.
“Namun, atas dasar kemanusiaan, Kerajaan membenarkan keberadaan sementara golongan Pendatang Asing Tanpa Izin yang memegang Kad UNHCR,”katanya.-WILAYAHKU