SELARI dengan Kerangka Malaysia Madani, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggariskan program pengurusan mitigasi banjir yang selama ini membelenggu warga kota ekoran impak dan ancaman perubahan cuaca ekstrem yang turut membadai negara.
Menerusi Belanjawan DBKL 2024, program pengurusan mitigasi banjir yang terkandung di dalam 11 Program Keutamaan Belanjawan menyediakan sebanyak RM170.5 juta merangkumi peruntukan mengurus dan pembangunan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh berkata pecahan sebanyak RM117.4 juta bagi pengurusan sistem saliran dan perparitan termasuk penyelenggaraan sungai, parit induk, longkang tepi jalan, dan rumah pam.
“Bagi peruntukan pembangunan pula sejumlah RM53.1 juta diperuntukkan untuk projek mempertingkatkan sistem saliran dan perparitan, kolam takungan banjir, flood wall dan sistem pam,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan DBKL 2024 di ibu negara pada Rabu.
Katanya, menerusi Program Low Carbon, DBKL mensasarkan suhu bandar raya yang lebih rendah dalam tempoh 10 tahun akan datang dan beberapa inisiatif telah dilaknsanakan untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon yang akan diteruskan pada tahun 2024.
“DBKL memperuntukkan sebanyak RM55.9 juta pada tahun 2024 untuk program yang melibatkan penjimatan tenaga, projek laluan basikal, program bas elektrik, program kesedaran alam sekitar, program kitar semula, solar panel serta penanaman pokok bagi mencapai sasaran menurunkan 70 peratus karbon menjelang tahun 2030,” katanya.
Bertepatan dengan konsep Bandar Selamat dan Bandar Raya Taman Bercahaya, Datuk Bandar memberikan komitmen untuk turut memastikan jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur sentiasa dalam keadaan cerah bercahaya serta dilengkapi dengan pelbagai peralatan keselamatan mencukupi.
“Ia bertujuan untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan pengguna jalan raya. Selain itu dalam usaha memastikan Kuala Lumpur mengekalkan keindahan dan kehijauan dalam bandar raya pada tahun hadapan, DBKL komited dalam memastikan elemen landskap pada susun atur hijau di semua taman awam, kawasan lapang hijau dan kawasan rekreasi dipertingkatkan.
“Sejumlah RM428.6 juta peruntukan mengurus telah disediakan pada tahun 2024 bagi tujuan kerja-kerja pengindahan landskap, penyelenggaraan taman-taman awam, penyelenggaraan lorong-lorong, jalan, parit, lampu jalan, jejambat, jejantas, pembersihan bandar serta pengindahan bangunan warisan dan ikonik,” katanya.
Tambah beliau, di bawah peruntukan pembangunan pula, sejumlah RM24.6 juta telah diperuntukkan pada tahun hadapan untuk melaksanakan projek-projek pengindahan dan naik taraf jalan-jalan utama dan laluan pejalan kaki, kerja-kerja naik taraf Quick Win di 11 kawasan parlimen Kuala Lumpur, pengindahan sungai di bawah River Of Life (ROL), projek pencahayaan ruang perbandaran serta kerja naik taraf landskap, taman-taman awam dan pocket park.
Kata Kamamrulzaman, pihaknya turut meletakkan Kuala Lumpur Command & Control Centre (KLCCC) dalam 11 Program Keutamaan bagi memperkasa jaringan keselamatan di ibu kota termasuk berfungsi sebagai hab pengurusan lalu lintas dan menyebarkan informasi seluruh warga kota.
“Bagi memperluas fungsinya ia akan mengambil kira aspek keselamatan, kesejahteraan dan keselesaan warga kota. DBKL telah memasang 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) yang dilengkapi dengan 15 fungsi kecerdasan buatan (AI) dan 140 unit paparan maklumat boleh ubah (VMS) di sepanjang 2,000 kilometer rangkaian jalan sekitar Kuala Lumpur serta 42 panic button serta pembesar suara di taman-taman dan lokasi awam. – WILAYAHKU