PENGURANGAN subsidi bukan langkah popular namun baik demi masa depan negara kerana ia bertujuan untuk meningkatkan kemampanan fiskal dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan untuk subsidi.
Mencari keseimbangan antara tanggungjawab fiskal dan kebajikan sosial adalah penting dalam proses membuat keputusan tersebut.
Kerajaan telah pun mempertimbangkan kebajikan isi rumah berpendapatan rendah dan kesan kepada perniagaan kecil yang banyak bergantung kepada diesel untuk operasi mereka.
Dalam masa yang sama, impak ketirisan bahan api juga dapat dikurangkan selain meningkatkan jumlah pendapatan negara yang mampu menstabilkan ekonomi negara.
Ia sekali gus memberi ruang kepada kerajaan untuk membangunkan negara dengan keseimbangan ekonomi yang dapat digapai.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abd Latiff berkata pelaksanaan subsidi bersasar tersebut adalah satu langkah berani yang mampu memberi impak besar buat ekonomi negara.
Menurut Ahmed Razman antara yang dapat dilihat dengan ketara ialah pengurangan masalah ketirisan yang sering berlaku.
“Jika kerajaan tidak melaksanakan subsidi bersasar, maka soal ketirisan akan terus berlaku dan ia dilihat sebagai satu perkara yang serius.
“Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil satu langkah yang berani bagi memperbetulkan kesilapan lalu dan penuh tanggungjawab bagi menjamin kelangsungan masa depan negara,” katanya ketika dihubungi.
Jelasnya lagi, subsidi tersebut juga diberi kepada bukan sahaja golongan yang berkemampuan malah secara tidak langsung kepada warga asing juga.
“Ini yang dikaitkan dengan masalah ketirisan yang berlaku, subsidi hanyalah bantuan kepada rakyat namun, jika mampu mengapa tidak bayar, malah soal warga asing juga secara tidak langsung mengambil kesempatan ini.
“Oleh kerana itu, ia perlu dielakkan dan langkah ini mampu membantu kerajaan untuk memfokuskan kepada golongan yang selayaknya untuk menerima bantuan subsidi,” jelasnya.
Dalam pada itu beliau menegaskan, penjimatan pelaksanaan subsidi diesel ini akan membawa penjimatan sebanyak RM4 bilion setiap tahun kepada kerajaan.
Katanya, penjimatan tersebut boleh digunakan kerajaan bagi program-program pembangunan negara di samping insentif-insentif kepada golongan berpendapatan rendah.
“RM4 bilion adalah satu jumlah yang sangat besar dapat dijimatkan oleh kerajaan, dengan pelbagai program pembangunan yang dapat dilaksanakan seperti naik taraf hospital, sekolah dan sebagainya.
“Di samping itu, langkah penjimatan tersebut dapat memberi nilai bagi kerajaan untuk membentuk insentif-insentif atau mekanisme membantu golongan berpendapatan rendah,” ujarnya.
Ahmed Razman memberitahu walau ia bukan satu langkah popular namun ia adalah langkah yang baik demi masa depan negara.
“Jika dilihat ia sememangnya bukan satu langkah popular namun, ia adalah satu mekanisme yang perlu dilaksanakan demi masa depan negara.
“Apabila kerajaan mampu berjimat, kerajaan mempunyai kewangan yang lebih kukuh, ia sekali gus dapat meningkatkan perkembangan ekonomi negara,” kata beliau.
Terdahulu, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi daripada golongan B40 dan M40 di Semenanjung, layak mendapat bantuan tunai sebanyak RM200 setiap bulan.
Mereka layak memohon sumbangan tunai kerajaan melalui Program Bantuan Subsidi Madani atau Budi Madani.
Dalam pada itu, menurut Ahmed Razman, ia merupakan satu mekanisme tepat dalam membantu mengagihkan subsidi kepada penerima yang selayaknya menerima.
“Daripada situ, akan dapat meminima ketirisan yang sepatutnya diberi kepada golongan-golongan yang layak terima.
“Kita lihat ini juga antara langkah secara tidak langsung yang mampu menguatkan lagi kewangan negara apabila subsidi diterima oleh golongan yang layak dan meminimakan ketirisan,” ujarnya.
Dalam Perutusan Negara yang disampaikan pada 21 Mei lepas, Anwar berkata Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel, sekali gus memberi penjimatan sekitar RM4 bilion setahun kepada kerajaan.
Bagaimanapun penyasaran itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak kerana kebanyakan keluarga di sana menggunakan diesel untuk kenderaan harian mereka.
Di samping itu, kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian subsidi diesel kepada perniagaan tertentu yang menggunakan kenderaan komersial diesel untuk mengurangkan potensi kesan kenaikan harga secara mendadak terhadap barangan dan perkhidmatan. – WILAYAHKU