Berita

Penguatkuasaan label minyak enjin ditangguh 6 bulan- KPDN

- Diterbit 11 April 2025 2:30 PM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menangguhkan penguatkuasaan wajib label pematuhan SIRIM QAS International Sdn. Bhd. (SIRIM) pada produk minyak enjin selama enam bulan berikutan maklum balas daripada industri mengenai kekangan teknikal.

PENGARAH Penguat kuasa KPDNHEP, Azman Adam. Kredit foto: Bernama

Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, penangguhan itu bermula 7 April 2025 sehingga 7 Oktober 2025 bagi memberi ruang kepada pemain industri menguruskan stok sedia ada dan menyesuaikan diri dengan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Minyak Enjin Bagi Kenderaan Motor) 2024.

“Perintah ini penting bagi memastikan minyak enjin yang dijual di pasaran mematuhi piawaian keselamatan serta tidak membahayakan pengguna

“Jika disabitkan kesalahan, syarikat boleh didenda sehingga RM200,000 manakala individu boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata KPDN akan meneruskan sesi libat urus bersama pihak industri bagi memastikan kelancaran pelaksanaan dan pematuhan peraturan menjelang Oktober nanti.

“Selepas tempoh penangguhan ini berakhir, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana syarikat pengimport, pengedar atau penjual yang menjual produk yang tidak diperaku dan tiada label pematuhan yang sah daripada SIRIM,” katanya

Dalam pada itu, Azman turut menyeru orang awam yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan boleh menghubungi KPDN melalui WhatsApp: 019-848 8000; portal: https://eaduan.kpdn.gov.my; talian bebas tol: 1-800-886-800 dan aplikasi Ez Adu KPDN.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas