Berita

Penguatkuasaan Akta 852, perokok masih tinggi

- Diterbit 28 Januari 2025 4:52 PM MYT

KEMBALI menerajui Kementerian Kesihatan (KKM) pada 12 Disember 2023, selepas pernah menyandang jawatan sama pada 2018, DATUK SERI DR DZULKEFLY AHMAD popular dengan tindakan tegasnya terhadap perokok. Sejak mengimbas kad perakam waktu memulakan tugas rasmi sekali lagi di kementerian itu, ramai yang mula memberi amaran kepada perokok supaya berhati-hati dengan ‘dendam’ Dr Dzul.

Tidak mengambil masa lama, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) kemudiannya diwartakan pada 2 Februari 2024 dan dikuatkuasakan 1 Oktober.

Kepada wartawan Wilayahku, METRA SYAHRIL MOHAMED, beliau memperincikan lebih lanjut perjalanan Akta 852.

Bagaimana Datuk Seri melihat pelaksanaan Akta 852 setakat ini? Apakah ada halangan-halangan tertentu termasuk dari segi dicabar di mahkamah?

Akta 852 dilaksanakan secara berfasa menggunakan pendekatan berhemah, berhikmah dan berkesan. Sepanjang pelaksanaan akta ini, antara cabaran utama adalah rokok elektronik dan vape yang sebelum ini tidak dikawal di bawah mana-mana akta. Ia dipasarkan secara agresif termasuk di platform digital. Bagi menyekat akses dan pengaruh produk ini terutama kepada generasi muda, kerajaan memperkenal larangan terhadap pengiklanan, promosi dan penajaan produk merokok.

Cabaran lain ialah memastikan semua produk merokok yang ingin dipasarkan di Malaysia didaftarkan terlebih dahulu dengan KKM. Dijangkakan lebih 300 jenama dan lebih 6,000 varian atau jenis produk merokok termasuk rokok, cerut, tembakau lerai, tembakau dipanaskan, produk pengganti tembakau serta rokok elektronik akan didaftarkan.

Di bawah Seksyen 54 Akta 852, pengimport, pengilang atau pengedar semua produk merokok hendaklah membuat permohonan pendaftaran dalam tempoh enam bulan dari tarikh akta ini dikuatkuasakan di mana tarikh akhir adalah pada 1 April ini.

Kami juga dapati tahap kefahaman masyarakat berkaitan risiko kesihatan akibat penggunaan rokok elektronik masih rendah. Masyarakat menganggap rokok elektronik ini sebagai alternatif selamat kepada rokok konvensional.

Walaupun terdapat cabaran, termasuk kemungkinan dicabar di mahkamah, kami yakin asas perundangan Akta 852 adalah kukuh serta selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan komitmen di bawah WHO Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC).

Sepanjang tempoh ini, berapa banyak notis peringatan atau amaran, kompaun, jumlah kes dikeluarkan mengenai pelanggaran larangan merokok di lokasi ditetapkan?

Bermula 1 Oktober sehingga 31 Disember lalu, sebanyak 7,891 notis bagi kesalahan di bawah Seksyen 16(2) dikeluarkan iaitu kesalahan merokok di tempat atau kawasan larangan merokok. Ia melibatkan 3,557 notis bagi kesalahan di tempat makan; 1,886 notis (kompleks membeli-belah); 1,260 notis (bangunan hentian pengangkutan awam); 379 notis (hospital atau klinik); 311 notis (lapangan terbang); 171 notis (premis kerajaan); 129 notis (kawasan rehat dan rawat); 59 notis (stesen minyak); 33 notis (kompleks sukan); 27 notis (institusi pendidikan atau pendidikan tinggi); 19 notis (pusat hiburan atau teater); 14 notis (stadium, pusat kecergasan atau gimnasium); 13 notis (lif atau tandas awam); 11 notis (kedai berhawa dingin dan kawasan Bandar Bebas Asap Rokok); tujuh notis (taman awam); dua notis (menara cerapan, tapak perkhemahan dan titian kanopi) serta masing-masing satu notis bagi kesalahan di Bangunan Parlimen dan kawasan yang digunakan bagi apa-apa aktiviti perhimpunan. Kesalahan merokok di tempat atau kawasan larangan merokok merupakan jenis kesalahan yang boleh dikompaun.

Mulai 1 April ini, apa pula peraturan tambahan yang akan dilaksanakan? Apakah KKM akan meluaskan lagi kawasan larangan merokok?

KKM telah memperluas kawasan larangan merokok dengan menambah bangunan dobi dan tempat kerja ke dalam senarai 28 kawasan larangan merokok yang diwartakan di bawah Akta 852. Bagi memastikan kepatuhan dua tempat baharu ini, penguatkuasaan sepenuhnya hanya dijalankan bermula 1 Januari lalu. Sepanjang tempoh itu, penguatkuasaan secara pendidikan dilaksanakan. Buat masa ini, KKM tidak bercadang memperluas kawasan larangan merokok selain daripada kawasan yang diwartakan.

Bermula 1 April ini, KKM akan memastikan semua produk merokok yang ingin dipasarkan di Malaysia perlu berdaftar, sebagaimana kehendak di bawah Seksyen 3, Akta 852.

Kita lihat berlaku seorang Menteri melanggar larangan berkenaan baru-baru ini. Syabas juga KKM kerana bertindak tanpa memilih siapa yang melakukan kesalahan tersebut. Bagaimana pula dengan tahap kesedaran awam terhadap larangan tersebut?

Rakyat menerima dengan baik Akta 852. Buktinya melalui penglibatan badan bukan kerajaan (NGO), badan profesional dan komuniti ketika pelancaran laman sesawang JomLapor pada 19 Disember lalu. Laman sesawang itu bertujuan memperkukuh penguatkuasaan Akta 852. Ia menyediakan platform mesra pengguna yang membolehkan orang ramai melaporkan kesalahan berkaitan produk dan aktiviti merokok. Sehingga 21 Januari 2025, sebanyak 768 aduan diterima menerusi laman sesawang JomLapor.

Selain itu, aduan merokok melalui WhatsApp turut meningkat, menunjukkan semakin ramai rakyat cakna tentang kesalahan merokok terutama di tempat makan. Pada tahun lalu sebanyak 15,327 aduan diterima dengan aduan berulang sebanyak 2,617. Pada tahun ini (sehingga 20 Januari), sebanyak 1,385 aduan diterima dengan aduan berulang sebanyak 551. Pada tahun lalu kira-kira sembilan program kesedaran dijalankan oleh NGO sejak Akta 852 mula berkuat kuasa.

Apa sasaran KKM mengenai pelaksanaan Akta 852 ini? Apakah Malaysia dalam kategori penduduknya yang paling banyak mengambil produk rokok? Jika dibandingkan dengan negara lain?

Pelaksanaan Akta 852 bertujuan mencapai beberapa sasaran utama dalam usaha mengurangkan kesan buruk merokok terhadap kesihatan awam. Ia termasuk pengurangan prevalens merokok. KKM berhasrat mengurangkan jumlah perokok di Malaysia terutama dalam kalangan generasi muda. Ini dilaksanakan melalui larangan merokok di tempat awam dan kawasan tertentu, larangan pengiklanan produk rokok serta pendidikan kesihatan.

Sasaran seterusnya adalah melindungi kanak-kanak dan remaja. Dengan menguatkuasakan larangan penjualan rokok kepada mereka yang berumur bawah 18 tahun dan mengurangkan akses kepada produk merokok, KKM berharap dapat mengelakkan remaja menjadi perokok.

Seterusnya salah satu matlamat jangka panjang KKM adalah menjadikan Malaysia negara bebas tanpa sebarang bentuk amalan merokok menjelang 2040. Ini sebahagian daripada usaha global mengurangkan kematian dan penyakit disebabkan oleh merokok. Akhirnya mengurangkan beban penyakit berkaitan tabiat merokok seperti kanser paru-paru, jantung dan strok, yang menyumbang kepada peningkatan kos rawatan kesihatan.

Berdasarkan laporan Global Adults Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2023, prevalens perokok dewasa di Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas adalah sebanyak 19.0 peratus (%), menurun sedikit berbanding 21.3% pada Kajian Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019. Ini menunjukkan Malaysia masih berada dalam kategori negara dengan prevalen penggunaan produk tembakau yang tinggi berbanding negara jiran seperti Thailand iaitu 17.4%, Kemboja (14.6%) dan Singapura (9.2%).

Bagaimana pula pandangan KKM terhadap rokok elektronik dan vape di tempat awam?

KKM berpendapat rokok elektronik atau vape adalah produk merokok yang boleh membahayakan kesihatan, termasuk individu yang terdedah kepada wapnya (perokok pasif), kerana ia mengandungi bahan kimia berbahaya yang boleh menjejaskan sistem pernafasan dan kesihatan secara keseluruhan. Di bawah Akta 852, rokok elektronik dan vape kini dikategorikan sebagai bahan merokok iaitu bahan atau gabungan bahan yang digunakan untuk merokok. Akta ini secara jelas melarang penggunaan rokok elektronik atau vape di tempat awam bagi melindungi kesihatan awam, mengurangkan pendedahan kepada asap rokok elektronik atau vape serta memastikan persekitaran yang lebih selamat untuk orang ramai, khususnya mereka yang lebih sensitif iaitu kanak-kanak dan individu dengan masalah kesihatan.

Apakah elemen penguatkuasaan dalam Akta 852 kepada orang awam dan juga penjual atau premis yang menjual rokok?

Akta 852 mengandungi beberapa elemen penguatkuasaan yang bertujuan melindungi kesihatan awam dan mengurangkan kesan buruk merokok. Pertamanya larangan merokok di tempat atau kawasan larangan merokok diikuti larangan pembelian dan penggunaan produk merokok oleh orang belum dewasa (OBD); pemantauan dan penguatkuasaan; kawalan penjualan produk merokok; pembungkusan dan pelabelan produk merokok; larangan pengiklanan, promosi dan tajaan; hukuman dan denda kepada penjual atau premis yang melanggar peraturan.

Selain penguatkuasaan langsung, Akta 852 menekankan pentingnya program pendidikan dan kesedaran tentang bahaya merokok. Usaha ini melibatkan penglibatan semua lapisan masyarakat untuk membentuk kesedaran kolektif tentang kesan buruk merokok.

Banyak penyakit berpunca daripada merokok, berapa banyak negara tanggung rugi untuk merawat?

Penyakit kardiovaskular, kanser paru-paru dan respiratori kronik antara berpunca daripada rokok. Menurut laporan Prevention and Control of Noncommunicable Diseases in Malaysia: The Case for Investment 2021, beban ekonomi bagi empat penyakit tidak berjangkit (penyakit kardiovaskular, penyakit metabolik terutamanya diabetes, penyakit kanser dan penyakit respiratori kronik) adalah RM64.2 bilion.

Jumlah kos penjagaan kesihatan langsung (direct cost) oleh kerajaan bagi penyakit metabolik adalah RM3.3 bilion iaitu 7.3% daripada jumlah keseluruhan kos penjagaan kesihatan (RM45.3 bilion) yang dibelanjakan kerajaan pada 2021.

Berdasarkan laporan sama, beban ekonomi terhadap penyakit tidak terhad hanya kepada kos penjagaan kesihatan langsung sahaja tetapi turut melibatkan kos tidak langsung (indirect cost). Kos tidak langsung bagi penyakit metabolik (terutama diabetes) adalah RM24.3 bilion. Kos tidak langsung ini berpunca daripada kehilangan produktiviti berikutan ketidakhadiran (absenteeism), kehadiran tidak produktif (presenteeism) atau kematian pramatang.

Bagaimana KKM melihat tabiat merokok dalam kalangan remaja/pelajar sekolah atau mungkin kanak-kanak?

Kewujudan pelbagai produk merokok yang dipromosikan secara berleluasa menjejaskan usaha kerajaan mengekang pendedahan rokok dalam kalangan remaja atau kanak-kanak. Kajian Tobacco & E-Cigarette Survey Among Malaysian Adolescents (TECM) 2016 melaporkan 77.3% (444,305) remaja berusia 10 hingga 19 tahun menggunakan vape kerana gemar akan perisa dan baunya. Berdasarkan NHMS, terdapat penurunan prevalens perokok konvensional namun pengguna vape dalam kalangan remaja berusia 13 hingga 17 tahun meningkat. Prevalens perokok konvensional kalangan remaja berusia 13 hingga 17 tahun, NHMS 2017: 13.8%, NHMS 2022: 6.2%. Prevalens pengguna rokok elektronik/vape kalangan remaja pula adalah NHMS 2017: 9.8%, NHMS 2022: 14.9%.

Apakah cukup penguat kuasa KKM dalam hendak melaksanakan Akta 852?

Di bawah Seksyen 24, Akta 852, seramai 6,513 pegawai KKM di seluruh Malaysia dilantik sebagai pegawai yang diberi kuasa menjalankan penguatkuasaan Akta 852. Namun KKM menggalakkan agensi-agensi lain dilantik sebagai pegawai yang diberi kuasa bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang ini. Selain itu, KKM menekankan pentingnya peranan masyarakat dan komuniti kerana penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi. Ini selari dengan pendekatan seluruh negara yang memandu Agenda Nasional Malaysia Sihat. Memperkasa komuniti melalui pendidikan dan kesedaran awam adalah penting dalam memastikan masyarakat memahami kesan negatif produk merokok termasuk rokok elektronik dan vape serta mematuhi peraturan yang ditetapkan, sekali gus mencipta persekitaran yang lebih sihat dan selamat untuk semua.

Negara mana yang begitu ketat penguatkuasaan mereka dalam isu ini mengambil kira Akta 852 dilaksanakan Malaysia?

Malaysia negara anggota WHO FCTC, yang merupakan perjanjian antarabangsa pertama di dunia memfokus kepada kesihatan awam mengawal tembakau. Terdapat 182 negara sebagai ahli WHO FCTC. Semua negara anggota perlu melaksanakan kawalan produk tembakau berdasarkan artikel-artikel yang terkandung dalam WHO FCTC, seperti kawalan terhadap pengiklanan, promosi dan penajaan tembakau (Artikel 13), pelaksanaan kawasan larangan merokok (Artikel 8) dan pelabelan pembungkusan tembakau dengan amaran kesihatan (Artikel 11).

Terdapat negara yang melangkah lebih jauh dari segi kawalan produk merokok. Antaranya, Australia melaksanakan plain packaging yang mengharamkan penggunaan logo atau imej jenama pada pembungkusan, dengan hanya memaparkan amaran kesihatan yang jelas. Selain itu, larangan merokok di ruang awam terbuka dan mengenakan cukai yang tinggi untuk mengurangkan permintaan terhadap rokok. Singapura mengharamkan penggunaan vape dan Belgium negara pertama mengharamkan penjualan pod pakai buang yang dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu.

Bagaimana pula dengan usaha intervensi berhenti merokok dilaksanakan KKM setakat ini?

KKM melaksanakan pelbagai inisiatif membantu perokok berhenti merokok termasuk melalui perkhidmatan mQuit yang diperkenalkan pada 2015. Ia melibatkan kerjasama pelbagai rakan strategik. Selain perkhidmatan berhenti merokok di klinik kesihatan, perkhidmatan ini juga dapat diperoleh melalui laman sesawang JomQuit bagi membantu perokok mengatasi cabaran berhenti secara lebih berstruktur. Perkhidmatan ini diperkukuh dengan pelancaran Cik Era Chatbot yang diintegrasikan dengan laman sesawang JomQuit bagi memberikan nasihat awal kepada perokok yang berminat berhenti merokok sebelum disalurkan kepada pengendali perkhidmatan mQuit yang terlatih. Pada 2023, sebanyak 4,347 perokok berjaya berhenti merokok dengan kadar berjaya berhenti merokok sebanyak 54.7%. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas