PIHAK Penguat Kuasa Perbadanan Putrajaya (PPj) sentiasa bersedia meningkatkan tindakan penguatkuasaan dalam menggalas amanah dan tanggungjawab demi kesejahteraan masyarakat Putrajaya dan semua pemegang taruh.
Menurut Pengarah Bahagian Penguat Kuasa dan Keselamatan PPj, Fauzi Ismail, bidang penguatkuasaan merupakan antara tonggak dan imej hadapan dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran dan membentuk sikap warga Putrajaya yang lebih prihatin serta patuh kepada undang-undang.
“Tindakan penguatkuasaan daripada bahagian Penguat Kuasa PPj merupakan elemen penting untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat supaya patuh kepada perundangan yang berkuat kuasa. Oleh itu, kerjasama dan komitmen yang tinggi daripada setiap kakitangan bahagian penguatkuasaan PPj adalah amat penting bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan menepati kehendak warga Putrajaya.
“Tugas yang dipikul adalah untuk menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan di kawasan Putrajaya di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan semua Undang-Undang Kecil yang diperuntukkan di bawah akta ini atau mana undang-undang penguatkuasaan,” ujar beliau.
Fauzi berkata penguat kuasa PPj memainkan peranan penting bagi memastikan keselamatan dan keamanan warga Putrajaya terjaga serta terjamin.
“Penguat kuasa perlu sentiasa meningkatkan komitmen dan ketelusan dalam melaksanakan tugas yang diberikan melalui penguatkuasaan yang tegas dan berhemah selain penekanan kepada nilai integriti dan tatakelola yang baik dalam pentadbiran organisasi. Dalam masa sama, kami harus memberikan perkhidmatan terbaik dan berkualiti supaya menjadi contoh teladan kepada pihak lain.
“Pihak Penguat Kuasa PPj bertanggungjawab dalam menjalankan operasi seperti Operasi Bersepadu dan Agensi Sahabat, Operasi Halangan Premis, Operasi Halangan Lalu Lintas, Operasi Rumah Sesak, Operasi Sisiran Tasik serta Operasi Banteras Aktiviti Haram (BAH) berdasarkan undang-undang yang telah diperuntukkan. Kami juga menguatkuasakan undang-undang terhadap kesalahan di bawah undang-undang Perbadanan Putrajaya sekali gus mengawal dan memastikan semua harta PPj berada di dalam keadaan baik dan selamat,” ujarnya.
Tambah beliau, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara rutin bagi memastikan undang-undang dipatuhi dengan sepenuhnya.
“Antaranya kawalan aktiviti penjaja tanpa lesen, pemantauan bersama Unit Merinyu Bahagian Perlesenan, Pemantauan Ops Tasik (memancing), Pemantauan bersama Bahagian Kawalan Bangunan/Infra selain turut menerima, menyiasat dan menyelesaikan aduan berkaitan banjir kilat, demonstrasi, mengawasi tempat-tempat tumpuan orang awam berkumpul dan sebagainya,” ujarnya.
Pada 21 Jun lalu, satu operasi bersepadu membanteras penjaja tanpa lesen atau lebih dikenali dengan panggilan ‘rambo’ dilakukan di sekitar Dataran Putra bermula pada pukul 4 petang sehingga 11:30 malam.
Beliau turut mengingatkan semua peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh PPj selain mendapatkan lesen yang sah untuk menjalankan perniagaan di dalam Putrajaya.
“Saya berharap peniaga yang ingin memulakan perniagaan atau sudah mempunyai perniagaan, mohonlah lesen untuk berniaga dan berniagalah di tempat yang dibenarkan oleh pihak PPj demi kebaikan kita bersama.
“Saya juga ingin tegaskan bahawa kegiatan menjaja makanan tanpa lesen, menyewakan peralatan permainan tanpa kebenaran, berkumpul atau berhimpun secara besar-besaran tanpa permit atau beriadah membawa permainan bermotor di sekitar kawasan Dataran Putra adalah tidak dibenarkan sama sekali. Justeru, kami akan meneruskan pemantauan dan tindakan melalui penguatkuasaan yang tegas dan berhemah dari semasa ke semasa,” tegas beliau.
Terdahulu, pada tahun 2023, pihak PPj telah melaksanakan tindakan kompaun sebanyak 114 dan 25 sitaan ke atas penjaja tanpa lesen di Dataran Putra. Sehingga Mei 2024, sebanyak 49 kompaun dan 24 sitaan telah dikeluarkan ke atas penjaja tanpa lesen. – WILAYAHKU