Artikel

Penguat kuasa dihargai

- Diterbit 14 Oktober 2024 6:17 PM MYT

PENGUAT kuasa berperanan penting dalam struktur organisasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Mereka adalah tulang belakang menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai bandar raya bertaraf dunia‚ bersih‚ selamat dan harmoni untuk didiami.

Dalam menjalankan tugas‚ mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran yang memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan. Maklum pelbagai gelagat manusia yang melanggar peraturan dan undang-undang terpaksa dihadapi.

Kerana itu kawan-kawan Kedai Kopi setuju khidmat bakti mereka dihargai‚ kaedah kerja ditambah baik. Langkah baharu bakal diambil oleh DBKL ialah memperkenal sistem penggiliran atau syif kerja‚ dijangka bermula Disember ini.

Untuk itu DBKL menyediakan elaun syif RM400 bagi gred 19 hingga 40 dan RM300 bagi gred 1 hingga 16. Tahun lalu‚ DBKL telah pun menaikkan kadar elaun anggota lain-lain pangkat Jabatan Penguatkuasaan sebanyak RM40 hingga RM120 sebulan.

Dengan pelaksanaan sistem syif‚ penempatan dan tugas kakitangan penguat kuasa di lapangan akan berdasar penggiliran. Ketika ini mereka bertugas menurut waktu pejabat. Jika ada apa-apa keperluan di lapangan selepas waktu pejabat perlu bekerja lebih masa.

Sistem penggiliran membolehkan bayaran kerja lebih masa dikurangkan. Anggota penguat kuasa pula mempunyai lebih banyak masa bersama keluarga. Seperti disebut oleh Datuk Bandar‚ Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif‚ kenaikan elaun diharap mampu meningkatkan motivasi kakitangan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas