PENGLIBATAN secara langsung komuniti setempat bukan sahaja telah memeriahkan sambutan kemerdekaan tahun ini, malah ia selari dengan semangat Keluarga Malaysia yang hidup dengan aman dan harmoni.

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Sub Zon 5 Bandar Tun Razak, Farouk Mohamad Noor berkata program anjuran usaha sama Balai Polis Sungai Besi itu amat bermakna bagi meraikan sambutan kemerdekaan ke-65 Malaysia hasil perjuangan warga terdahulu.
Katanya, semangat kemerdekaan ini wajar diteladani golongan muda supaya negara terus mengecapi kemakmuran dan bebas daripada sebarang anasir jahat yang hanya merosakkan kestabilan Malaysia.
“Sambutan kemerdekaan dianjurkan kali ini bermakna kerana melibatkan para pelajar sekolah yang tampil dengan persembahan kawad kaki dan teater yang mengisahkan peristiwa Bukit Kepong.
“Segmen ini kami ditampil bagi pengunjung dan golongan muda khasnya merasai dan menteladani perjuangan orang terdahulu membebaskan negara dari sebarang jenis ancaman dan campur tangan asing.
“Alhamdulillah, dengan kelancaran program saya berterima kasih bagi pihak penganjur kepada semua terlibat khususnya Pejabat DBKL Cawangan Bandar Tun Razak banyak membantu penganjuran program,” ujarnya di dalam perasmian Program Sambutan Di Ambang Kemerdekaan 2022, MPPWP Sub Zon 5, di sini.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun dan diiringi Pengurus DBKL Caw. Bandar Tun Razak, Asyqoh Yusof.

Hadir sama, Timbalan Ketua Balai Polis Sg. Besi, Sub Inspektor, Mohd. Radzi Wazir; Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi, Abdul Rashid Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif Tadika Terang Hati, Zamzairi Mohd Jawi.
Sementara itu, program sambutan bermula 9 pagi sehingga 12 tengah malam itu turut dimeriahkan dengan penglibatan 22 gerai jualan pelbagai jenis produk makanan dan minuman selain pakaian serta aksesori.
Sejumlah hampir 1,500 pengunjung hadir memeriahkan program yang diisi pelbagai aktiviti seperti gerai pameran, pertandingan memasak dan gubahan serta sukan rakyat sebagai usaha untuk memartabatkan seni dan budaya tradisional. -WILAYAHKU
