WALAUPUN hampir 54 tahun ‘tiang seri’ perpaduan ini diwujudkan, namun Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 bukan sahaja masih jauh daripada sanubari dan kehidupan rakyat Malaysia malah berterusan meminggirkan keseluruhan falsafah yang terkandung di dalamnya.
Mungkin agak sukar untuk diterima, tetapi hakikatnya, masih ramai lagi yang tidak cakna bahawa Rukun Negara tidaklah sekadar berpaksi kepada lima prinsip itu sebaliknya turut mempunyai mukadimah atau falsafah yang menjadi pendukung kepada ikrar tersebut.
Beberapa pakar yang ditemu ramah Bernama berpandangan, perubahan positif berlaku apabila kerajaan MADANI menyelaraskan lafaz pembacaan ikrar Rukun Negara dengan bacaan penuh mukadimah diikuti lima prinsip berkenaan, sejak Julai tahun lepas.
“Kalau diberitahu bahawa Rukun Negara sebenarnya mengandungi dua bahagian penting yang merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan serta kestabilan Malaysia, pasti ramai yang tidak tahu.
“Selama ini, kebanyakan majlis, sekolah lebih tertumpu kepada bahagian kedua iaitu bacaan lafaz ikrar, Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan,” kata Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian.
Walhal menurut Pensyarah Kanan Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) ini kepada Bernama, bahagian pertama atau juga disebut sebagai mukadimah itu wajar dihayati bersama dengan lima prinsip tersebut kerana ia merupakan objektif atau cita-cita Rukun Negara.
Ini kerana, katanya kedua-duanya saling berhubung kait antara satu sama lain dan tidak boleh diabaikan memandangkan objektif atau bahagian pertama Rukun Negara bertindak sebagai mengemudi arah yang ingin dicapai negara dalam membentuk masyarakat Malaysia.
Lima prinsip tersebut pula, boleh diibaratkan umpama jalan atau panduan yang perlu diikuti dalam merealisasikan cita-cita atau objektif berkenaan, jelas Sivamurugan.
“Apabila (Perdana Menteri Kedua Allahyarham) Tun Abdul Razak Hussein melancarkan Rukun Negara, ada satu yang ditekankan beliau iaitu ia tidak boleh jadi sekadar dokumen tetapi perlu diamalkan serta menjadi darah daging kita.
“Bagi saya, untuk kita terapkan Rukun Negara dalam kehidupan seharian adalah penting untuk kita menghayati dan memahami bahagian pertama dan kedua Rukun Negara kerana ia merupakan wadah sangat penting kepada pembinaan bangsa Malaysia serta mengukuhkan perpaduan yang dikecapi,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) ini Prof Dr Ahmad Martadha berpandangan langkah kerajaan yang lebih lima bulan melaksanakan penyelarasan lafaz pembacaan ikrar Rukun Negara dengan dimulakan mukadimah atau objektif di semua sekolah dan program rasmi kerajaan seluruh negara, wajar diwajibkan.
Beliau berkata sudah lebih lima dekad bahagian pertama Rukun Negara diabaikan dan ia tidak boleh dipandang remeh serta sudah tiba masanya kerajaan perlu lebih agresif mengetengahkannya.
“Sekarang ni pelbagai isu membabitkan perkara sensitif seperti 3R (kaum, agama dan raja) dan ini berlaku disebabkan masih ramai tidak memahami Rukun Negara bukan sekadar bahagian pertamanya tetapi lima prinsip yang sering dilafazkan.
“Sedangkan, Rukun Negara adalah teras daripada Perlembagaan Persekutuan dan jika kita tidak hayati, tidak faham Rukun Negara, maknanya, kita tidak faham init pati Perlembagaan. Penting untuk faham kedua-duanya (mukadimah dan prinsip) kerana penghayatan Rukun Negara melengkapkan individu sebagai warganegara Malaysia,” katanya.
Beliau berkata Rukun Negara boleh disifatkan sebagai aku janji rakyat Malaysia dan kerana itu, Ahmad Martadha berpandangan adalah wajar pembacaannya diluaskan bukan sahaja peringkat semua sekolah, institusi pengajian tinggi mahupun pejabat kerajaan tetapi swasta juga tidak boleh dikecualikan.
“Semalam bermulanya minggu perpaduan (Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan) dan saya rasakan adalah sebaiknya kerajaan mengambil peluang ini untuk mengumumkan supaya mewajibkan Rukun Negara dibaca bersama mukadimah setiap kali perjumpaan.
“Ia tidak boleh lagi sekadar dijadikan garis panduan semata-mata kerana kita tidak mahu perpaduan yang dinikmati selama ini sedikit demi sedikit terhakis umpamanya isu sensitif seperti 3R antaranya berpunca kerana kita gagal menghayati Rukun Negara,” katanya.
Biarpun demikian, Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpandangan usaha untuk memperkasakan penghayakan Rukun Negara tidak boleh disandarkan sepenuhnnya kepada bahu kerajaan mahupun sekolah.
Namun, ia memerlukan rantaian kerjasama dua pihak, iaitu keluarga kerana ia mempunyai pengaruh penting untuk menembusi ke peringkat didikan awal kalangan anak-anak untuk menerapkan Rukun Negara dalam kehidupan seharian supaya tidak sekadar menjadi lafaz atau tampalan di dinding atau buku semata-mata.
“Rukun Negara adalah ideologi negara tetapi yang berlaku adalah kurang dihayati sepenuhnya, berbeza di Indonesia dengan rakyat mereka memahami dan menghayati Pancasila tanpa mengira perbezaan ideologi dan ini memberi kesan sangat baik kepada perpaduan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar ketika berucap merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2024 di Angsana Johor Bahru Mall semalam, menyeru golongan muda agar mempertingkat dan mempertahankan perpaduan yang selama ini dinikmati oleh negara sekali gus menjadi generasi penerus yang bermakna untuk Malaysia. – BERNAMA