Berita

Penggunaan teknologi mampu kurangkan pelepasan karbon, jimat elektrik

PESURUHJAYA Tinggi Britain ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Charles Hay
- Diterbit 10 Disember 2022 2:00 AM MYT

PROGRAM Kemudahan Pembiayaan Bandaraya (CFF) yang mendorong pelaksanaan Sistem Penyejukan Daerah (DCS) dianggar dapat mengurangkan pelepasan karbon dengan lebih cekap sekali gus berpotensi menjimatkan penggunaan elektrik sebanyak 35 peratus.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata inisiatif menggunakan tenaga boleh diperbaharui akan menyebabkan pengurangan ketara dalam kos operasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) khususnya kepada sistem penyejukan bangunan.

“DBKL membelanjakan purata 16.4 juta euro (RM75 juta) setiap tahun untuk elektrik yang termasuk lampu jalan, taman, pejabat, dewan masyarakat, fasiliti sukan, stadium dan kemudahan milik DBKL yang lain.

“Pada masa ini, kira-kira 65 peratus daripada jumlah kos tenaga kami adalah disebabkan oleh penyejukan bangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran C40 Cities Finance Facility (Cff) – Political And Technical Kick-Off di Institut Latihan DBKL pada Isnin.

Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Charles Hay; Timbalan Ketua Usaha Kedutaan Perancis, Virginie Bioteau; Timbalan Ketua Misi Kedutaan Jerman, Ulrike Wolf; Pengurus Projek C40 Cities Finance, Dr Marco Salm dan Pengurus Kanan Perhubungan C40 Cities Finance Facility, Bryn Boyce.

Katanya, pelaksanaan DCS yang akan membekalkan udara sejuk ke beberapa bangunan dalam lokaliti yang sama dari loji pusat merupakan sebahagian daripada Pelan Tindakan Iklim Bandar.

“Ia merayakan kerjasama tiga tahun antara DBKL, C40 Cities dan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jerman ini dan ia akan membuka jalan kepada DBKL untuk mencapai agenda iklim untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar neutral karbon menjelang tahun 2050,” katanya.

PENGURUS Kanan Perhubungan C40 Cities Finance Facility, Bryn Boyce sedang menyampaikan taklimat dalam Program CFF baru-baru ini.

Jelas Mahadi, pihaknya telah memulakan pembangunan Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Kuala Lumpur 2030 dan Pelan Tindakan Iklim Kuala Lumpur 2050 sebagai komitmen tinggi untuk mencapai sasaran tersebut.

“Dokumen-dokumen ini memaparkan penyelesaian komprehensif yang akan membolehkan kami merealisasikan cita-cita kami untuk Kuala Lumpur sebagai bandar neutral karbon dan berdaya tahan iklim menjelang 2050.

Datuk Bandar berkata berpandukan Pelan Tindakan Iklim Kuala Lumpur 2050, DBKL telah bekerjasama rapat dengan C40 Cities untuk melaksanakan tindakan iklim konkrit dan aktiviti pengarus perdanaan dengan tumpuan untuk meningkatkan kecekapan tenaga
serta memperluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di DBKL, komersial dan bangunan kediaman di seluruh Kuala Lumpur.

“Sebagai sebahagian daripada usaha untuk beralih kepada sumber tenaga yang lebih mampan, kami telah menyasarkan penggunaan
sumber tenaga boleh diperbaharui untuk penjanaan elektrik, khususnya tenaga suria, daripada enam peratus pada tahun 2010, kepada 25 peratus menjelang 2030.

“Inisiatif ini bukan sahaja akan memastikan kesan alam sekitar yang minimum, tetapi ia juga akan membantu dalam memperkukuh
pembangunan ekonomi dan sosial warga kota,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini DBKL telah pun memulakan pelbagai program untuk mencapai matlamat ini termasuk meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di seluruh bangunan milik DBKL dengan pemasangan panel PV solar.

“Kami juga telah menguatkuasakan peraturan ke atas pemaju untuk memastikan bahawa sekurang-kurangnya 30 peratus tenaga yang digunakan dalam projek mereka adalah daripada sumber tenaga boleh diperbaharui. Pada masa yang sama, kami juga sentiasa menggalakkan gaya hidup rendah karbon di kalangan pegawai DBKL dan warga Kuala Lumpur,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas