PENGGUNAAN metafora untuk mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia adalah salah satu usaha kerajaan untuk membentuk hala tuju ke negara maju, berdaya saing yang memberi manfaat kepada semua rakyat.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ia adalah satu langkah indikator untuk negara terus memacu dan mengembangkan lagi ekonomi.
“Prestasi semasa ekonomi negara menunjukkan pertumbuhan yang positif dan memberangsangkan untuk menuju ke arah negara ekonomi maju.
“Walau langkah masih jauh namun potensi itu ada, kita perlukan pertumbuhan ekonomi pesat, perlukan pelan dasar ekonomi untuk merancakkan ekonomi negara.
“Selain itu, kita juga perlu mengambil kira faktor-faktor industri yang menjadi pemacu utama yang mampu menghasilkan, dana atau hasil yang tinggi dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk terus mengembangkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya kepada Wilayahku.
Jelas Mohd Afzanizam, sasaran berkenaan mampu dicapai selepas mengambil kira kadar pengembangan ekonomi dan mempertimbangkan potensi risiko-risiko daripada sektor luaran yang boleh memberi kesan kepada tinjauan pertumbuhan dalam jangka terdekat.
“Harimau Asia hanyalah satu gambaran piawaian negara kita yang mahu dicapai untuk menuju ke arah negara berpendapatan tinggi yang ditetapkan oleh Bank Dunia.
“Salah satu segi yang dilihat ialah pendapatan per kapita negara merupakan parameter yang ditetapkan. Bagi mencapai pendapatan per kapita yang tinggi, negara perlu pertumbuhan ekonomi yang pesat.
“Justeru itu, banyak usaha dan inisiatif kerajaan seperti subsidi bersasar, menarik pelabur-pelabur antarabangsa untuk menjadikan sumber dana kerajaan kena tepat pada tempatnya yang akan diterjemahkan kepada produktiviti tinggi dan pendapatan tinggi,” ujarnya.
Mohd Afzanizam menjelaskan, kalau tahun lepas kerajaan banyak berkongsi blueprint, pelan serta dasar bagi mengembangkan ekonomi, tahun ini dan seterusnya akan menyaksikan tahun pelaksana.
“Kalau kita lihat tahun ini juga, banyak langkah-langkah yang telah dilaksanakan kerajaan termasuk langkah kurang popular seperti kenaikan cukai, pengenalan cukai baharu, subsidi bersasar dan macam-macam lagi.
“Kesan atau manfaat pelaksanaan itu akan diterima negara bukan sahaja dalam masa terdekat malah termasuk pertumbuhan ekonomi yang positif baru-baru ini seperti yang diumumkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli,” katanya.
Tambahnya lagi, pelabur-pelabur asing sudah mula memandang Malaysia hasil daripada pelaksanaan kurang popular kerajaan yang memberi tarikan kepada pelabur untuk melakukan pelaburan di negara sekali gus meningkatkan ekonomi negara.
“Pihak pelabur asing sentiasa menilai perkara-perkara sebegini. Mereka akan menilai prospek apa akan jadi masa akan datang kepada negara apakah akan jadi satu pertumbuhan baik atau sebaliknya sebelum melakukan pelaburan.
“Ekonomi negara jelas berada di landasan yang tepat susulan institusi perbankan utama dunia, JPMorgan meningkatkan penarafan Malaysia kepada neutral selepas hampir enam tahun mengekalkan pendiriannya pada tahap underweight.
“Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu atas pelbagai faktor, cabaran dan persaingan, penarafan itu disifatkan sebagai berita gembira kerana usaha kerajaan mendapatkan keyakinan pelabur membuahkan hasil lumayan.
“Kita boleh lihat dasar-dasar kerajaan yang lebih bersifat pragmentik, progresif di mana ia membuahkan hasil.
“Jikalau momentum ini diteruskan maka kita akan memperoleh lebih banyak kesan-kesan positif, dengan kemungkinan nilai ringgit semakin mengukuh, prestasi Bursa Malaysia meningkat dan pelbagai lagi semuanya untuk kebaikan negara dan rakyat,” katanya. – WILAYAHKU