KOS sara hidup yang semakin tinggi di negara khususnya buat warga kota dilihat semakin merunsingkan.
Baik daripada segi memenuhi keperluan asas, kadar sewa dan banyak lagi, kesemuanya berlaku peningkatan memberi kesan bagi menampung perbelanjaan.
Rata-rata, rakyat Malaysia khususnya warga kota kini mengharapkan sedikit sinar mahupun pembaharuan yang mampu membantu kewangan mereka di kala saat-saat ekonomi yang mencabar.

Pekerja swasta, Muhammad Ijlal Abu Bakar berkata kebanyakan barang keperluan asas meningkat menyebabkan perbelanjaan juga lebih banyak.
Menurutnya, selain menyokong penuh hasrat kerajaan dalam pelaksanaan gaji progresif, dia juga berpendapat kadar gaji minimum juga perlu diteliti untuk dinaikkan.
“Harga barang-barang keperluan asas banyak yang meningkat, namun, pendapatan masih kekal sama, ini sesuatu yang membebankan semua pengguna.
“Dasar gaji progresif satu langkah yang bagus untuk dilaksanakan namun, jika dilihat, kadar gaji minimum juga perlu ditingkatkan supaya relevan dengan kos sara hidup masa kini.
“Ia sekali gus dapat membantu kelangsungan hidup menjadi lebih baik dengan keadaan ekonomi sekarang,” katanya kepada Wilayahku.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Didi Ery Syaril memberitahu, kenaikan kadar gaji minima ibarat ‘nafas baharu’ yang membantu seiring dengan kenaikan kos sara hidup masa kini.
“Jika kita dapat lihat, banyak yang tertekan dengan kos sara hidup yang meningkat, ramai yang terpaksa berjimat-cermat di dalam perbelanjaan.
Antara jalan terbaik pada saya, menaikkan kadar gaji minimum, supaya dapat membantu dan boleh hidup dengan lebih selesa,” jelasnya.

Sementara itu, pekerja swasta, Siti Nuramalina Azmi berkata kadar gaji minima boleh membantu perkembangan ekonomi negara.
“Bila gaji ditingkatkan, orang ramai mempunyai kuasa beli lebih banyak sekali gus merancakkan ekonomi negara.
“Malah selain itu, dapat membantu orang ramai untuk menabung dan tidak lagi melakukan dua atau lebih pekerjaan bagi menampung perbelanjaan,” ujarnya. – WILAYAHKU – SYED HAZIQUE