Artikel

Pengguna puji khidmat TBG

TERMINAL Bersepadu Gombak.
- Diterbit 20 April 2025 5:00 PM MYT
MUDAH‚ selamat dan selesa. Itu kesimpulan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan Terminal Bersepadu Gombak (TBG) sejak ia mula beroperasi sebulan lalu.

Ternyata mereka kagum dan teruja dengan terminal tersebut yang dilengkapi pelbagai kemudahan serba moden untuk melancarkan urusan perjalanan menaiki bas ekspres ke pantai timur dan sebaliknya.

Penumpang yang hendak ke pantai timur atau dari sana tidak perlu lagi ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Mereka berlepas atau tiba di TBG yang selesa dan mempunyai kemudahan berkonsep seperti pusat membeli-belah. Terdapat banyak kedai atau ruang niaga di samping kios pelbagai jenis makanan untuk menjamu selera. Ruang parkir pula luas.

Kerana itu kawan-kawan Kedai Kopi faham kenapa orang ramai begitu gembira dengan TBG. Tambahan ia dihubungkan dengan sistem LRT. Apabila projek ECRL siap nanti ia akan dihubungkan pula dengan sistem tersebut.

Pendek kata‚ TBG terletak pada satu kawasan strategik sebagai pusat sehenti pengangkutan merangkumi bas ekspres ke pantai timur dan sebaliknya‚ ECRL dan LRT bagi pengangkutan bandar yang dihubungkan dengan rangkaian MRT dan monorel.

Kawan-kawan Kedai Kopi percaya dalam tempoh terdekat‚ TBG akan menjadi terminal tumpuan yang sibuk.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas