PELBAGAI rintangan serta cabaran yang telah dilalui Kementerian Komunikasi dalam membantu kelangsungan hidup rakyat.
Walau bagaimanapun sedikit pun tidak melunturkan semangat menterinya, Fahmi Fadzil di dalam memberikan perkhidmatan terbaik demi masa depan negara yang lebih cemerlang.
Wilayahku sempat mengadakan temu ramah eksklusif bersama Fahmi Fadzil bagi menceritakan pengalaman sepanjang perkhidmatan beliau.
Pada ketika YB memegang portfolio Menteri Komunikasi dan Digital sepanjang tahun lalu, apakah antara dasar baharu yang berjaya dicapai?
Saya rasa antara yang paling sukar tapi ada impak yang baik pada jangka masa panjang ialah memutuskan peralihan dari ‘single consent network’ kepada ‘dual network’ untuk rangkaian 5G.
Kalau kita tengok industri telekomunikasi perlu mampan dan yang membolehkan ia kekal lama ialah ada sifat persaingan. Sifat ini akan memberi ruang serta peluang untuk syarikat-syarikat telekomunikasi di negara berlumba-lumba bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik.
Justeru itu, ia hanya berlaku untuk rangkaian 5G dan ke depan bukan dari satu sumber sahaja. Oleh kerana itu, saya nampak ia memberi kesan positif dan ia adalah satu perkara yang sukar, sebab waktu pelaksanaannya ramai yang bertanya dan pertikaikan mengapa hendak berbelanja lebih, namun syukur, dasar itu berjaya dilakukan.
Kini, dengan portfolio sebagai Menteri Komunikasi, selain bertanggungjawab memastikan setiap inisiatif kerajaan berjaya diperjelaskan kepada seluruh rakyat Malaysia, YB juga menjadi tumpuan sebagai Jurucakap Kerajaan, namun masih ramai yang menyalahkan YB kerana merasakan banyak penjelasan lambat dilakukan. Jadi, apa kekangan di pihak YB atau kementerian ketika ini?
Suka untuk saya nyatakan, itu adalah perkara lepas, dan isu yang dihadapi pada ketika itu ialah penyelarasan di peringkat kementerian sendiri.
Kadang-kadang butiran yang lebih spesifik perlu disertakan dan maklumat yang perlu diperolehi memakan masa sedikit di peringkat kementerian, namun, kini sejak kita selaraskan jawatankuasa kabinet untuk komunikasi strategik banyak perkara dapat diurus dengan lebih baik, dan cepat, malah ia juga membolehkan isu-isu ditangani dengan menyeluruh.
Industri media sosial di negara berkembang pesat sekali, apa komen YB?
Ya, betul, banyak input yang boleh diperolehi orang ramai hanya melalui satu klik sahaja.
Namun, saya nampak salah satu isu yang kita hadapi di platform-platform media sosial ialah diet pemikiran pengguna-pengguna media sosial.
Algorithm di media sosial mampu merosakkan diet pemikiran pengguna itu sendiri tambahan lagi dengan segelintir maklumat yang disajikan.
Malah info-info seperti kerosakan akhlak turut disajikan kepada pengguna dengan menurut algorithm yang telah pengguna itu pilih, dan ia amat merunsingkan sekali tambahan lagi anak-anak muda yang senang mendapat capian Internet atau daftar ke dalam media sosial.
Pada saya, ia merupakan satu isu kepada cara kita berkomunikasi sekarang, ia nampak antara cabaran bukan hanya di pihak kerajaan dengan maklumat yang perlu diselaraskan namun pengguna media sosial harus bijak klik, pantauan juga harus dilaksanakan bagi memastikan keselamatan dalam talian.
Antara perkara yang boleh dilakukan mungkin dengan cara menggubal undang-undang bagi memastikan keselamatan pengguna media sosial terutamanya kanak-kanak.
Lambakan pengguna media sosial dalam kalangan kanak-kanak bukan sahaja dihadapi di Malaysia malah seluruh negara, disebabkan itu banyak negara yang bersikap tegas terhadap platform-platfrom media sosial.
YB lihat apakah tapisan atau sekatan yang tegas perlu dilakukan di pihak kementerian sendiri?
Jika boleh saya tidak mahu bersikap terlampau tegas, dengan mengenakan lesen atau garis panduan perlu dipatuhi para podcaster atau pempengaruh ini, tetapi jika terlampau banyak masalah yang timbul akhirnya di pihak kementerian sendiri perlu melakukan sesuatu.
Apa yang saya perhatikan, sebagai pihak yang boleh menghasilkan bahan perlu berhati-hati dengan konten-konten yang dihasilkan, bukan hanya sibuk mengajar ‘views’, cuba bayangkan kesannya sehingga membawa kepada negara akibat terpesong akidah.
Jadi saya nampak kerajaan mungkin boleh pertimbang kenakan sekatan atau kawal selia terhadap konten-konten yang dihasilkan oleh pempengaruh-pempengaruh seperti podcaster. Sebab di kemudian hari nanti akan mendatangkan masalah jika tidak dikawal dengan betul. Kita perlu berwaspada dan berjaga-jaga sama ada kita menonton atau menghasilkan konten di media sosial.
Apakah langkah yang boleh diambil oleh pihak kementerian untuk isu ini?
Saya nampak ada beberapa perkara yang boleh dilakukan bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
Saya lihat, ia bermula daripada mendidik, kalau kita fahami dengan mendalam konsep mengesahkan maklumat dengan daya pemikiran kritis, berfikir secara kritikal atau aras tinggi saya nampak ia tidak menjadi masalah.
Selain daripada penguatkuasaan daripada pihak kerajaan serta agensi-agensi, ibu dan bapa juga perlu memainkan peranan, masyarakat juga seharusnya tidak menghalalkan penghasilan bahan yang sama ada melanggar undang-undang, hukum syarak, ataupun norma adat resam ketimuran kita.
Era digital yang semakin maju, membolehkan banyak fitnah digital palsu, penjualan data peribadi, bagaimana pihak kementerian atasi masalah ini?
Masalah ini sebenarnya dihadapi oleh kebanyakan negara, bukan di Malaysia sahaja, sebab itu, menteri-menteri yang jaga isu digital atau komunikasi maklumat atau maklumat di beberapa negara ASEAN ada kesepakatan dalam usaha mengekang masalah jenayah seperti scam, penipuan dalam talian dan banyak lagi.
Bila kita fahami konsep jenayah siber ini, banyak aktiviti contohnya scam tidak berlaku di dalam satu negara sahaja, mereka beroperasi di negara lain, justeru itu, kerjasama kesepakatan ini amat penting bagi membanteras jenayah-jenayah siber yang berleluasa kini.
Kita perlu meningkatkan keselamatan siber, tingkatkan celik digital dalam kalangan rakyat, setiap enam bulan sekali tukar kata laluan, dan segala langkah keselamatan digital buat pengguna. Perkara sebegini perlu dinormalisasikan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.
Apakah rakyat kita peka atau celik dengan jenayah siber?
Kebanyakan pengguna media sosial di negara kita, mereka cenderung kepada celik sensasi, jika berlaku berita sensasi rakyat suka serta mudah klik mana-mana paparan.
Jenayah siber seperti scam terutamanya adalah sesuatu yang ‘boring’ sehinggalah jika berlakunya kehilangan duit barulah mula kelam-kabut. Kita sebagai pengguna harus celik tentang keselamatan atau jenayah-jenayah siber masa kini.
Kita perlu amalkan diet pemikiran yang sihat, jangan sibuk untuk mengejar berita sensasi sahaja yang boleh memudaratkan diri.
Apakah lambakan pempengaruh media sosial ini dilhat satu perkara positif atau negatif lebih-lebih lagi untuk kanak-kanak?
Sebenarnya, ia terpulang kepada pengguna itu sendiri, boleh saya katakan banyak sahaja pempengaruh yang membuat konten-konten positif atau berilmiah di negara yang diikuti banyak pihak.
Ia secara tidak langsung menambah ilmu pengetauan dan input untuk diri kita juga kegunaan masa hadapan.
Apakah harapan YB di masa hadapan?
Saya mengharapkan sangat konsep ‘participatory democracy’ ataupun demokrasi yang kita bangunkan bersama. Ia sangat penting untuk semua yang terlibat bagi mengetahui atau membangunkan sesebuah negara itu bersama-sama antara kerajaan dan juga rakyat.
Rakyat mengharapkan perkhidmatan terbaik di situ mereka boleh mencadangkan pelbagai idea untuk kerajaan laksanakan. Justeru itu, semua pihak dapat terlibat dalam proses untuk merangka hala tuju pembangunan.
Harapan saya rakyat juga faham bahwa banyak isu bukan terletak pada kementerian atau kerajaan semata-mata, rakyat juga perlu memainkan peranan, itu boleh jadi lebih baik dan mudah kalau kita bergerak bersama.
Akhir kata, kita perlu berhati-hati dalam menerima sebarang maklumat, tak pasti jangan kongsi, semak dahulu sebelum sebar dan berhati-hati pada penjenayah siber. – WILAYAHKU