PENGGERAK Belia Parlimen Bandar Tun Razak menggerakkan misi bantuannya kepada warga penduduk sekitar yang memerlukan sempena sambutan Hari Deepavali, baru-baru ini.
Penggerak Belia Parlimen Bandar Tun Razak yang diwakili oleh Kapten (B) Mohd Fazrin Musa ketika ditemui berkata inisiatif itu bertujuan untuk meringankan beban masyarakat khususnya komuniti India beragama Hindu dalam menyambut perayaan Deepavali.
“Sebagai lanjutan, kami akan jayakan program bantuan seumpama ini pada setiap minggu dengan menumpukan kepada kumpulan sasar iaitu golongan berpendapatan rendah (B40) yang memerlukan.
“Misi yang sama akan dilaksanakan secara berkala dengan fokus utama adalah menyalurkan sumbangan berupa barangan keperluan dapur antaranya beras, susu, tepung, gula, minyak masak dan lain-lain,” katanya selepas menyerahkan bantuan kepada penduduk di sekitar kawasan perumahan Bandar Tun Razak.
Dalam pada itu, Mohd Fazrin berharap agar inisiatif yang dilaksanakan itu dapat membantu meringankan beban warga memerlukan seterusnya menepati aspirasi Kerajaan Perpaduan dalam menyantuni dan mensejahterakan rakyat.
Turut hadir Pegawai Khas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Kuek Zhi Han. – WILAYAHKU