PELAKON baharu kacak, Shahidan Izwan, tidak menduga dia akan mengalami situasi menyeramkan di set penggambaran ketika menjayakan telefilem arahan Osman Ali iaitu Tersimpang Ke Alam Bunian.
Membawa watak bernama Lan, dia yang mesra disapa dengan nama Iwang itu akui berasa amat bangga apabila dipilih menjadi antara teraju utama drama berkenaan yang disiarkan di saluran Astro Citra baru-baru ini.
“Saya terkejut apabila diberi peluang mendukung peranan penting, apatah lagi digandingkan dengan dua pelakon berkaliber iaitu Farid Kamil dan Amerul Affendi.
“Ibaratnya, berganda-ganda pengalaman manis saya alami sepanjang berlakon dalam drama ini,” ujar penyandang gelaran Mister Talented yang dimenangi dalam pertandingan pencarian bakat Mister Planet Nation Malaysia 2019 (MPM 2019) pada tahun lalu.

Pun begitu, Iwang turut menempuhi pengalaman yang membuatkan bulu romanya meremang sewaktu melakonkan babak di sebuah tanah perkuburan pada waktu malam.
“Babak itu membabitkan watak Lan lakonan saya dan watak roh Emma yang menyarung kostum putih, digalas oleh Hana Ameera.
“Pada masa sama, ada kru yang ditugaskan mengambil gambar kami. Setelah meneliti foto yang diambil, ternampak sesuatu yang pelik apabila turut kelihatan satu entiti seolah-olah bayangan kepada watak Emma,” cerita Iwang berkongsi momen menyeramkannya itu.

Tambah Iwang, foto tersebut sekali gus menyebabkan semua kru Nuansa Film terdiam dan set penggambaran menjadi sunyi sepi buat seketika. – WILAYAHKU