INDIVIDU penting dalam rangkaian GISBH yang didakwa memainkan peranan sebagai pengendali aliran tunai organisasi itu ditahan polis, Sabtu lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lelaki tersebut diberkas dalam fasa empat Op Global di Butterworth, Pulau Pinang.
“Kita tahan individu tersebut selepas polis berjaya memberkas pemimpin utama organisasi berkenaan di ibu negara minggu lalu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Razarudin berkata, ketika ini siasatan masih dijalankan terhadap suspek dan beberapa pemimpin lain termasuk meneliti akaun berkaitan.
Menurutnya, melalui siasatan tersebut, pihak polis akan menjejaki segala bentuk transaksi yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan GISBH.
Baru-baru ini polis memberitahu, sebanyak 280 premis dikaitkan GISBH telah diperiksa menerusi fasa empat Op Global bermula 21 September lalu.
Sebanyak 59 premis diserbu dengan memperoleh tangkapan dan rampasan.
Melalui fasa tersebut, seramai 156 individu ditahan manakala 187 mangsa berusia 18 tahun ke bawah diselamatkan. – WILAYAHKU