Berita

Pengenalan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja antara tumpuan PERKESO

- Diterbit 2 Januari 2025 4:15 PM MYT

PENGENALAN Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) akan menjadi antara tumpuan utama untuk direalisasikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), tahun ini.

Dalam satu kenyataan, PERKESO berkata dua lagi pindaan perundangan, masing-masing Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) juga bakal diberikan tumpuan sama.

PERKESO menyifatkan pembaharuan itu adalah usaha ke arah mewujudkan perlindungan 24 jam kepada pekerja, sekali gus menutup segala kelompangan dalam jaringan keselamatan sosial sedia ada.

“Untuk 2025, beberapa pelan besar menanti untuk direalisasikan PERKESO seperti pindaan Akta 4, Akta 800 dan SKBBK yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat, demi menjamin keterangkuman aspek keselamatan sosial di Malaysia.

“Selain itu, PERKESO memberi tumpuan kepada aspek inovasi yang menjadi antara perkara ditekankan dalam Forum Keselamatan Sosial Serantau (RSSF) Asia dan Pasifik, baru-baru ini,” katanya.

Mengulas lanjut, PERKESO berkata siri pembaharuan itu perlu dilakukan kerana jaringan keselamatan sosial harus kekal relevan seiring peredaran semasa.

Katanya, mengorak langkah seterusnya, PERKESO dan tiga lagi rakan strategik iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang bersiap sedia menjadi tuan rumah bagi penganjuran Forum Keselamatan Sosial Sedunia (WSSF) 2025 yang bakal diadakan pada 29 September hingga 3 Oktober depan.

PERKESO berkata perancangan ke arah forum berskala global berkenaan ketika ini giat dirintis kerana ia dijangka menghimpunkan 338 agensi dan institusi dari 163 negara dalam kalangan ahli Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA).

“ISSA yang ditubuhkan pada tahun 1927, berpusat di Geneva, Switzerland adalah pertubuhan antarabangsa dalam bidang keselamatan sosial yang bernaung dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“ISSA berperanan sebagai platform global bagi membincangkan dasar, strategi dan inovasi dalam bidang keselamatan sosial,” katanya.

PERKESO berkata penganjuran persidangan kemuncak WSSF yang diadakan pada setiap tiga tahun adalah antara inisiatif ISSA yang dihadiri menteri, pegawai kanan, pengamal dan pakar dalam bidang keselamatan sosial. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas