BAHAGIAN Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri melalui Pasukan Petugas Khas Teknikal dalam peringkat menyediakan laporan interim mengenai cadangan reformasi institusi melibatkan pengasingan peranan Pendakwaraya dan Peguam Negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia berdasarkan laporan dapatan Kajian Empirikal daripada Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif.
Menurutnya, tempoh penyediaan laporan interim oleh Pasukan Petugas Khas Teknikal ialah satu tahun.
“Laporan interim tersebut termasuk syor akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan pada tahun depan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengenai status terkini berkenaan usaha kerajaan untuk memisahkan Pejabat Peguam Negara (AGC) dan Pendakwaraya dan sama ada usaha ini akan dicapai dalam jangka masa yang telah ditetapkan.
Jelas Azalina, kerajaan mengambil serius cadangan reformasi institusi melibatkan pengasingan peranan Pendakwaraya dan Peguam Negara.
Untuk itu katanya, pada 16 Ogos 2023, Jemaah Menteri bersetuju supaya satu kajian empirikal yang terperinci dan holistik dibuat berkenaan dengan pengasingan peranan tersebut.
Katanya, susulan mesyuarat berkenaan reformasi institusi pada 12 September 2023, dicadangkan supaya dua Pasukan Petugas Khas ditubuhkan iaitu Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif dan Pasukan Petugas Khas Teknikal.
“Sesi libat urus dan perbincangan bersama pihak-pihak pemegang taruh lain seperti Polis Diraja Malaysia, agensi penguatkuasaan lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan pihak-pihak lain pula akan diadakan oleh Pasukan Petugas Khas Teknikal dalam masa terdekat.
“Jemaah Menteri pada 31 Januari lalu bersetuju bagi Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif menjalankan Kajian Empirikal amalan terbaik dalam pengasingan peranan Pendakwaraya dan Peguam Negara.
“Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif telah memilih tiga buah negara untuk dilawati iaitu Australia, United Kingdom (UK) dan Kanada. Kajian Empirikal tersebut penting kerana kajian berdasarkan sumber terbuka tentang amalan terbaik global yang telah dilaksanakan oleh AGC setakat ini adalah terhad dan terdapat maklumat penting yang tidak dapat diperoleh melalui sumber terbuka,” katanya.
Tambahnya, selain itu, kajian saintifik berdasarkan perspektif sains kemasyarakatan pandangan umum ke atas pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwaraya sedang dijalankan bagi tempoh enam bulan.
“Bagi tujuan ini, BHEUU sedang bekerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk melaksanakan kajian saintifik ini. Kajian ini akan melibatkan pihak-pihak berkepentingan termasuk masyarakat umum, agensi penguatkuasaan, pakar-pakar berkaitan dan kerajaan negeri.
“Kajian ini juga akan merangkumi pengumpulan dan analisis data dan maklumat daripada pihak-pihak berkepentingan melalui pelbagai kaedah penyelidikan seperti perbincangan kumpulan fokus,” katanya. – WILAYAHKU