Artikel

Pengaruh Islam pada bangunan bersejarah

MUZIUM Tekstil merupakan salah sebuah bangunan peninggalan penjajah yang dipulihara sebagai bukti sejarah yang nyata. - Gambar hiasan
- Diterbit 13 September 2024 11:20 AM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

DARI Jalan Hishamuddin di Kuala Lumpur menuju Jalan Raja, sebelah kanan ada bangunan stesen kereta api. Dulunya stesen itu amat sibuk kerana di situlah stesen yang menghubungkan utara dan selatan yang kini dipindahkan ke KL Sentral. Sebelah kiri ada bangunan bekas ibu pejabat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Terus ke Jalan Raja dan di kanannya berdiri teguh Bangunan Sultan Abdul Samad.

Sebelah kiri adalah Dataran Merdeka yang dulunya dikenali sebagai Padang Kelab Selangor. Padang yang penuh sejarah sekali gus menyaksikan turunnya bendera Union Jack pada pukul 12.01, 31 Ogos 1957. Di hujung sebelah kanan Dataran Merdeka ada Perpustakaan Kuala Lumpur. Tidak jauh dari situ ada pula Muzium Tekstil.

Semua bangunan itu didirikan pada zaman penjajahan British akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 sebagai pejabat dan pusat pentadbiran di Selangor. Maknanya bangunan itu berusia sekitar satu abad dan kini menjadi antara tarikan pelancong di Kuala Lumpur. Seni binanya amat berbeza dengan bangunan moden lain termasuk yang tinggi menyapu awan.

Saya percaya sebahagian besar dalam kalangan warga kota sudah jemu melihat semua bangunan yang lama itu. Sekalipun menjadi tarikan pelancong, tetapi bagi sebahagian besar orang tempatan tidak ada yang menariknya tentang bangunan yang penuh dengan kubah itu.

Sejak mula menjejak kaki ke Kuala Lumpur empat dekad lalu, saya memang amat terpesona dengan seni bina pada semua bangunan itu. Seperti tidak puas melihat dan menyentuh dengan tangan pada bangunan yang dibina akhir abad ke-19 lalu. Bangunan Sultan Abdul Samad dan Perpustakaan Kuala Lumpur misalnya, amat luar biasa kerana kubah-kubahnya.

Saya tertanya-tanya kenapa banyak kubah pada semua bangunan itu? Pertama, kubah bukan seni bina yang menggambarkan pengaruh British. Kedua, kubah juga bukan berasal daripasa seni bina tradisi Nusantara. Mengapa British memilih kubah sebagai pengenalan pada bangunan yang didirikan semasa menjajah negara ini?

Keterpesonaan saya itu mungkin disebabkan tidak pernah melihat bangunan seumpama itu sebelum datang ke Kuala Lumpur. Bagaimanapun selepas empat dekad, saya tetap melihat dengan rasa yang penuh kagum terutama daripada sudut seni bina yang amat menonjol pengaruh Islamnya.

Memang benar, semua bangunan itu didirikan oleh British. Bagaimanapun yang menariknya tidak ada sedikit pun pengaruh British pada seni binanya. Sebaliknya memancarkan seni bina Moorish dari tamadun Islam di Sepanyol dan Mughal yang menonjol di India pada abad ke-16 hingga ke-19. Kedua-dua seni bina itu menggabungkan elemen yang mempunyai pertautan amat rapat dengan tamadun dan zaman kegemilangan Islam.

Seni bina eksotik

Perkara itulah yang menjadikan bangunan peninggalan penjajah itu amat berbeza dengan beberapa bangunan lain yang dibina pada zaman yang sama. Misalnya Hotel Majestic dan Panggung Coliseum yang dibina pada tahun 1930 serta bangunan rumah kedai di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman yang menggunakan seni bina Neo Classic dan Art Deco yang membawa pengaruh Eropah.

Hal itu menunjukkan kekaguman British dan negara-negara Eropah lainnya terhadap pengaruh empayar Islam zaman Uthmaniyah. Sekalipun ketika bangunan itu dibina empayar Uthmaniyah sudah berada di penghujung kegemilangan, akan tetapi masih berpengaruh. British tentunya ketinggalan sekiranya tidak menumpang kegemilangan Empayar Uthmaniyah.

Kita beruntung, sekalipun bangunan itu adalah peninggalan penjajah negara ini tetapi mempunyai pertautan yang akrab daripada seni bina yang diangkat daripada pengaruh zaman kegemilangan empayar Islam yang begitu sejagat sifatnya. Maka tidak hairan apabila hal itu turut mempengaruhi cita rasa British dalam mereka bentuk bangunan yang digunakan sebagai pejabat pentadbiran.

Moorish merujuk pada seni bina yang berasal dari tamadun Islam Empayar Uthmaniyah di Sepanyol yang ciri-ciri utamanya ada kubah, lengkungan terutama pada bahagian pintu, bermotifkan geometri serta penggunaan jubin dan sangat akrab dengan kolam dan taman dalaman yang indah. Hasil seni bina Moorish tertera pada bangunan-bangunan bersejarah antaranya Alhambra di Granada, Masjid Cordoba dan Menara Giralda di Seville.

Sementara seni bina Mughal pula berasal daripada Empayar Mughal di India yang diasaskan oleh keturunan Monggol dan Turki. Ciri-ciri utama seni bina Mughal juga adalah kubah dan lengkungan. Bangunan yang berseni bina Mughal adalah Taj Mahal di Agra, Fort Red dan Pusara Humayun di Delhi, India.

Bangunan British di Kuala Lumpur menggabungkan kedua-dua seni bina yang sarat dengan pengaruh Islam itu. Kalau diperhatikan bangunan stesen kereta api Kuala Lumpur, pejabat KTM, Bangunan Sultan Abdul Samad dan Perpustakaan Kuala Lumpur, semuanya ada kubah di atasnya dan bentuk-bentuk lengkungan yang begitu dominan.

Kedua-dua seni bina itu menjadi penanda zaman pada abad ke-19 hingga awal abad ke-20. Bukan sahaja di Sepanyol atau India malah hampir seluruh dunia. Ketika bangunan itu dibina, kedua-dua seni bina itu dianggap suatu yang amat megah dan eksotik. Itulah gambaran seni bina itu pada zaman tersebut.

Bangunan yang berusia lingkungan seabad itu mengimbangi wajah Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang begitu pesat membangun. Sebahagian besar bangunan selepas merdeka bercirikan seni bina moden, mencerminkan pengaruh dan cita rasa semasa yang minimalis. Bahan-bahan pula lebih banyak daripada cermin yang menjadikan seolah-olah balang atau kotak kaca yang tersergam di tengah kota.

Sekalipun begitu, kita amat beruntung kerana semua bangunan lama termasuk peninggalan penjajah itu dilindungi bawah Akta Warisan Negara 2005 (Akta 645). Masa yang sama Jabatan Warisan Negara bertanggungjawab memulih dan memulihara keaslian bangunan berkenaan .Secara umumnya bangunan yang diwartakan sebagai warisan dilindungi daripada sebarang pengubahsuaian struktur dan seni bina yang asal. Maknanya bangunan berkenaan hanya dipulihara daripada kerosakan tetapi tetap mengekalkan ciri-ciri yang asal.

Maka bangunan peninggalan penjajah itu terus dipulihara supaya berdiri sebagai bukti sejarah yang nyata. Jabatan Warisan Negara memikul tanggungjawab besar dalam memastikan bangunan berkenaan terpelihara dan masa yang sama mengekalkan ciri-ciri yang asal. Hal itu kerana bangunan atau monumen adalah salah satu daripada penanda zaman. Setiap zaman ada tanda pengenalan, salah satunya terpancar daripada seni bina yang dipengaruhi oleh faktor sosial dan budaya sezaman.

Jiwa yang merdeka tentunya tidak akan terganggu dengan pemuliharaan bangunan peninggalan penjajah di negara ini. Malah usaha itu memberikan kefahaman serta penghayatan kepada generasi semasa tentang sejarah penjajahan dan pengaruh seni binanya. Oleh itu, kita perlu berbangga kerana kegemilangan empayar Islam mempengaruhi seni bina bangunan peninggalan British di Kuala Lumpur.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas