Berita

Pengaruh Amerika kian merudum

- Diterbit 22 Disember 2023 8:00 AM MYT

SEJAK Hamas melancarkan serangan mengejut yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel yang berlanjutan sehingga kini, wilayah itu berada dalam keadaan berjaga-jaga di tengah-tengah kebimbangan konflik yang lebih meluas termasuk pencerobohan Israel ke atas wilayah Gaza.

Tidak sekadar pencerobohan wilayah Gaza, tindakan ketenteraan dan menyasarkan bom di kawasan penempatan pelarian menyaksikan ribuan nyawa yang tidak berdosa menjadi korban sekali gus menarik perhatian masyarakat antarabangsa yang bertali arus mengecam tindakan berkenaan.

Penganalisis Undang-Undang Antarabangsa, Dr Mohamed Hadi Abd Hamid menyifatkan situasi di Gaza yang menjadi tumpuan ketika ini bakal berakhir berikutan pengaruh Amerika dalam kalangan negara-negara di seluruh semakin merudum melalui undian di Sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengundi supaya gencatan senjata segera dilaksanakan.

MOHAMED HADI

“Jika kita lihat situasi politik antarabangsa kini sememangnya tidak pernah memihak kepada Amerika Syarikat kerana sering menyebelahi Israel dalam tindakannya yang menceroboh Palestin.

“Ini dizahirkan melalui undian yang menuntut gencatan senjata yang merekodkan 153 negara menyokong resolusi berkenaan manakala 23 negara berkecuali,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.

Mohamed Hadi berkata menerusi undian berkenaan, ada dalam kalangan negara yang menyokong resolusi gencatan senjata itu tersebut pernah menzahirkan sokongan terhadap AS namun turut sama membantah tindakan Israel di Palestin.

“Ia jelas dilihat bahawa banyak negara kini sudah tidak boleh menerima tindakan yang dibuat oleh Israel lebih-lebih lagi apabila ia turut menyasarkan wanita, warga emas dan kanak-kanak sehingga meningkatkan sokongan antarabangsa terhadap Palestin,” katanya.

Jelasnya, konflik berkenaan sewajarnya ditamatkan berikutan bantahan yang ditunjukkan oleh masyarakat antarabangsa di seluruh dunia namun sikap ego dua negara berkenaan menjadikan konflik tersebut terus berpanjangan sehingga kini.

“Apa yang dilihat kini hanyalah kemusnahan di kedua-dua wilayah, Palestin dan Israel. Namun yang paling nyata, Israel tidak mampu untuk menawan Gaza walaupun dibekalkan dengan pelbagai senjata moden termasuklah semua aset udara, darat dan laut yang dikerahkan untuk melawan Palestin,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas