Berita

Pengangkutan percuma bantu mangsa insiden Putra Heights

- Diterbit 9 April 2025 4:54 PM MYT

PENYEDIA perkhidmatan e-hailing tempatan, GV Ride menawarkan perkhidmatan pengangkutan percuma kepada mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kabeer Maand, inisiatif itu ditawarkan bagi memberikan sokongan kepada penduduk yang sedang berhadapan situasi mencabar.

Beliau berkata, menyedari keperluan mendesak untuk pengangkutan yang boleh dipercayai, GV Ride menyediakan perjalanan percuma bagi membantu penduduk yang terkesan untuk ke tempat kerja, sekolah, janji temu perubatan dan keperluan penting lain.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen GV Ride terhadap sokongan komuniti dan memastikan gangguan terhadap rutin harian adalah minimum.

“GV Ride menegaskan komitmen syarikat untuk sentiasa bersama komuniti yang memerlukan. Inisiatif ini adalah cara kami untuk menyumbang semula dan memastikan mereka yang terkesan oleh tragedi ini mempunyai akses kepada pengangkutan yang selamat dan boleh dipercayai,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif  GV Ride, Kabeer Maand

Sementara itu, Kabeer berkata GV Ride akan bekerjasama rapat dengan pejabat EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, Ng Sze Han dan pihak berkuasa tempatan yang terlibat dalam usaha bantuan bagi menyelaras program tersebut.

Katanya, inisiatif ini akan berlangsung untuk satu tempoh masa, bagi memberi peluang kepada keluarga yang terkesan membuat persediaan dan penyelesaian pengangkutan jangka panjang.

Kebakaran saluran gas milik Petronas pada 8.10 pagi 1 April lalu menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter (m) dengan suhu mencecah 1,000 darjah selsius yang mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas