PENGARAH yang juga pelakon dalam filem Harimau Malaya: The Untold Journey, Datuk Afdlin Shauki Aksan memberitahu apa yang dilihatnya berbeza dari kaca mata penonton memandangkan sebagai pengarah banyak sudut yang dilihatnya ketika menonton.
“Kalau tanya mana-mana pengarah pun, mereka takkan puas. Tapi kita kena terima hakikat pada satu ketika filem ini tetap kena keluarkan juga. Kalau tanya saya pasal kepuasan, saya mahukan masa dua hingga tiga bulan lagi.
“Ini kerana, mungkin penonton tidak nampak apa yang saya nampak. Kebanyakan penonton akan melihat filem ini sempurna. Namun saya melihat dengan teliti dari pelbagai sudut seperti teknikal dan bahagian lain, itulah cara saya bekerja.

“Dari sudut penonton pula, apabila tengok filem ini, apa yang kita boleh tanya adalah membawa kesan atau tidak. Ketawa tak ketika babak kelakar, menitis air mata tak apabila babak sedih yang menyentuh hati dan sebagainya.
“Kalau semua itu kita dapat rasa, bermakna ia memberi kesan kepada kita,” katanya kepada Wilayahku pada Malam Gala Harimau Malaya di Starling Mall, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Menurut Afdlin lagi, menjadi pengarah Harimau Malaya satu pengalaman yang ‘menakutkan’ kerana ia adalah satu projek besar yang dibuat dalam waktu yang agak singkat.
“Saya takut pada mulanya nak buat. Iyalah, filem ini menyentuh topik yang sangat sensitif di Malaysia. Ia sukan rakyat negara kita iaitu bola sepak yang mana kalau ada yang tidak kena mereka akan komen.
“Nak buat filem ini kena ada keberanian yang luar biasa. Alhamdulillah, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi ruang kepada kita untuk bercerita. Tanpa bantuan mereka, banyak yang kita tak boleh buat,” ujarnya.
Menyentuh tentang pengalaman bekerjasama dengan para pelakon dalam filem tersebut, Afdlin berkata kebanyakan mereka merupakan kali pertama bekerjasama dengannya.
“Sebelum ini saya dengar macam-macam cerita tentang pelakon-pelakon ini, tapi apabila datang set saya, tak ada masalah pun. Mereka bagi komitmen yang terbaik. Apabila tonton filem ini, semua pelakon memainkan watak dengan baik dan memberi kesan kepada penonton. Terima kasih,” ujarnya.
Sementara itu, bagi pelakon utamanya, Meerqeen mengakui filem Harimau Malaya membuatkan dirinya berasa teruja namun dalam masa yang sama takut menanti komen atau maklum balas penonton kerana ia berinspirasikan dari kisah benar.
“Dalam masa yang sama, saya rasa nervous kerana saya ini boleh main bola atau main suka-suka tapi untuk melakonkan perkara yang kita biasa buat, itu agak sukar sebenarnya.
“Selain itu, saya terima watak ini kerana pelakon-pelakon lain seperti Aidil dan Aiman yang kuat wataknya. Ia ini antara sebab saya berani terima. Saya tak nak jadi seorang yang acah-acah main bola, tapi apabila di skrin, nampak tak okey.
“Watak ini sebenarnya menakutkan saya juga kerana shooting seharian, latihan bola dalam tempoh lama dan mental kena kuat,” tambahnya.
Filem Harimau Malaya: The Untold Journey mula ditayangkan di pawagam pada 15 Ogos 2024 diinspirasikan daripada kisah di sebalik tabir FAM selepas Tan Cheng Hoe meletakkan jawatan sebagai jurulatih skuad kebangsaan pada Januari 2022.
Kisah filem ini digerakkan melalui empat perspektif naratif iaitu dari sudut badan pengurusan skuad kebangsaan Harimau Malaya, ketua jurulatih, pemain dan ultras khususnya tiga rakan yang merupakan penyokong tegar Harimau Malaya. Mereka telah disenaraihitamkan daripada menghadiri perlawanan bola sepak di stadium selama setahun. – WILAYAHKU