Berita

Penetapan zon guna tanah

DR Zaliha Mustafa
- Diterbit 16 Disember 2024 3:59 PM MYT

“PENETAPAN zon guna tanah dan intensiti pembangunan di dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) 2040 mengambil kira kapasiti selaras dengan daya tampung dari segi semua aspek perancangan termasuk trafik, sosial, kebolehsediaan infrastruktur, utiliti dan kemudahan masyarakat,” kata Dr Zaliha Mustafa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu berkata sebarang cadangan pembangunan yang dipertimbangkan untuk kelulusan perlu mematuhi zon guna tanah dan intensiti yang telah ditetapkan di dalam PTKL yang telah diwartakan.

Jelasnya, dalam konteks kawalan perancangan, cadangan pembangunan baharu adalah dipastikan supaya seimbang dan mematuhi semua dasar-dasar semasa kerajaan, kehendak-kehendak teknikal dan garis panduan perancangan termasuk syarat-syarat yang dikenakan oleh jabatan teknikal dalaman DBKL serta agensi teknikal luaran.

“Ini bagi memastikan pembangunan yang diluluskan mengambil kira semua aspek dan kehendak yang telah ditetapkan termasuk peningkatan infrastruktur, penyediaan kemudahan sokongan dan penyediaan kawasan lapang.

“Kelulusan terhadap permohonan pembangunan baharu hanya akan diberikan setelah semua aspek teknikal dan syarat-syarat dipatuhi,” katanya ketika sesi jawapan bertulis di Parlimen pada Isnin.

Terdahulu, Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) bertanya bagaimana kementerian dan DBKL memastikan penyelarasan bagi meluluskan permohonan perintah pembangunan berlaku selari dan seimbang dengan keperluan meningkatkan semua infrastruktur sokongan termasuk dan tidak terhad kepada jalan, sekolah, klinik, kemudahan tempat letak kereta dan kawasan hijau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas