SALAH seorang penerima skim bantuan pelajaran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Wan Aleeya Balqis Husin, 18, berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan baru-baru ini.
Dia yang berjaya memperoleh keputusan 9A mengakui ia merupakan hadiah terindah buat arwah bapanya yang meninggal dunia akibat penyakit Parkinson dan paru-paru berair lima tahun lalu.

“Selain ahli keluarga lain, arwah bapa adalah tunjang semangat dan kekuatan saya untuk terus berusaha dan belajar bersungguh-sungguh sehingga memperoleh kejayaan ini.
“Arwah ayah meninggal dunia ketika saya berumur 13 tahun. Sejak itu, apa-apa perkembangan tentang pelajaran saya di sekolah hanya diuruskan oleh ibu,” ujarnya sebak.
Katanya lagi, seandainya arwah bapanya masih hidup, pasti dia sangat berbangga dengan kejayaan yang diperolehi.
“Alhamdulillah, saya cemerlang dalam subjek Pendidikan Islam, Matematik, Sains, Prinsip Perakaunan, Perniagaan, Ekonomi, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah,” ujar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Viviekananda ini.
Berkongsi rahsia kecemerlangannya, Wan Aleeya berkata solat adalah kunci utama selain kerap bertanya kepada guru atau rakan sekiranya tidak memahami sesuatu perkara.
“Saya percaya jika kita menjaga hubungan dengan Allah SWT dan manusia, segala urusan pembelajaran akan dipermudahkan serta dalam masa yang sama keberkatan doa daripada ibu,” ujarnya lagi.
Dalam masa yang sama, dia juga turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada YWP di atas bantuan-bantuan pendidikan yang diberikan selama ini.
“Bantuan dari YWP ini sangat-sangat membantu saya untuk urusan belajar dan meringankan beban ibu untuk menampung kos pembelajaran saya di sekolah,” ujar anak kelahiran Kuala Lumpur ini.
Ditanya mengenai perancangannya pada masa hadapan, Wan Aleeya berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perakuanan di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan nekad mahu mengubah kehidupan keluarganya. -WILAYAHKU