PENERBANGAN khas atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari Bangladesh susulan ketegangan di negara itu berlepas pada 7.30 pagi ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, di sini.
Penerbangan AirAsia menggunakan pesawat Airbus A330 wide body atau badan lebar yang mampu memuatkan 350 penumpang itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka pada 9.20 pagi (waktu tempatan).
Setiausaha Bahagian Asia Selatan dan Asia Tengah Kementerian Luar Datuk Dr Shazelina Zainul Abidin yang mengetuai misi berkenaan berkata lebih 100 rakyat Malaysia termasuk pelajar telah ditempatkan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sejak semalam.
Beliau berkata ia susulan pemantauan Kementerian Luar terhadap perkembangan mutakhir di Bangladesh. – BERNAMA