PENENTUAN penerima subsidi untuk selepas penyasaran subsidi RON95 akan dibuat berdasarkan perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW) isi rumah yang akan meliputi 85 peratus rakyat.
Kementerian Ekonomi berkata PAKW merujuk kepada amaun perbelanjaan yang diperlukan oleh isi rumah untuk menjalani kehidupan wajar yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak serta berpeluang menyertai aktiviti sosial dalam masyarakat.
“Penggunaan PAKW menyokong peralihan konsep daripada pendapatan kasar kepada pendapatan boleh guna bersih, iaitu pendapatan bersih selepas ditolak pindahan semasa yang dibayar dan PAKW yang meliputi kos makanan dan bukan makanan seperti pakaian, tempat tinggal, utiliti, pengangkutan, pendidikan, kesihatan, komunikasi dan keperluan diri berdasarkan HIES mengikut lokasi dan jumlah isi rumah).
“PAKW akan memberi gambaran yang lebih jelas mengenai kemampuan isi rumah dalam menjalani kehidupan wajar,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Menjelas lanjut, Kementerian Ekonomi berkata PAKW turut bermanfaat dalam memperjelas tentang kos sara hidup di kawasan yang berbeza antara negeri, sama ada di bandar atau luar bandar.
“Ia menjadi indikator dalam perancangan dan pembangunan sosioekonomi dan penentuan gaji yang lebih adil serta dapat membantu individu dan keluarga merancang perbelanjaan dan pengurusan kewangan isi rumah dengan lebih baik.
“Konsep PAKW juga boleh dijadikan asas untuk mengurangkan ralat keciciran dalam pengagihan bantuan (inclusion and exclusion error) dengan memastikan golongan yang benar-benar layak sahaja menerima bantuan,” katanya.
Katanya, pelaksanaan subsidi RON95 pada tahun 2025 dijangka akan memberikan penjimatan kepada perbelanjaan Kerajaan sebanyak RM3.6 bilion atau pengurangan sebanyak 21.9 peratus kepada keseluruhan perbelanjaan subsidi sekiranya ia hanya diberikan kepada golongan B85 dan warga negara.
“Dengan memastikan penyasaran subsidi RON95 tidak melibatkan bukan warga negara akan memberi manfaat penjimatan sebanyak RM0.3 bilion (2.0 peratus) kepada Kerajaan.
“Justeru, Kerajaan tidak berhasrat untuk membenarkan kenderaan milik bukan warga negara untuk mendapat subsidi RON95. Langkah ini adalah selaras dengan matlamat untuk mengukuhkan lagi kedudukan fiskal negara seperti yang dinyatakan didalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12),” katanya. – WILAYAHKU