JABATAN Imigresen telah membuat laporan polis berhubung penemuan 12 keping pasport asing pada badan seorang pegawainya di Pejabat Operasi Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 1 Januari lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, laporan itu dibuat pada 7 Januari dan diklasifikasikan sebagai tindakan jabatan.
“Pihak jabatan mengesahkan telah menemukan 12 keping pasport asing pada badan seorang pegawai imigresen di Pejabat Operasi Terminal 2 KLIA pada 1 Januari.
“Satu kertas siasatan integriti telah dibuka dan pihak pengurusan Jabatan Imigresen KLIA mengambil tindakan awal dengan menukarkan pegawai terbabit ke Depot Imigresen KLIA sementara siasatan integriti dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Zakaria menambah, walau bagaimanapun pegawai terbabit tidak hadir melaporkan diri ke tempat bertugas yang baharu sehingga kini.
Katanya, proses siasatan integriti masih dilaksanakan oleh Bahagian Integriti Jabatan Imigresen KLIA.
“Kita tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pegawai yang melakukan pelanggaran integriti yang mencemarkan nama baik dan imej jabatan.
“Tindakan dan hukuman akan diambil berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk tindakan buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah,” jelasnya.
Katanya, pihak jabatan mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan salah laku integriti Pegawai Imigresen melalui talian 03-880 1246 atau melalui e-mel [email protected] atau hadir sendiri ke Aras 4, Bahagian Integriti, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. – WILAYAHKU