PENDUDUK Taman Batu View, Kuala Lumpur menarik nafas lega apabila suara mereka tentang masalah sampah sarap didengari pihak berkuasa tempatan (PBT), selepas aduan dibuat tiga minggu lalu.
Menurut Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Parlimen Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mengambil tindakan lanjut berhubung aduan yang dibuat penduduk.
“Mereka memaklumkan isu tersebut akan diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga minggu,” katanya kepada Wilayahku.

Terdahulu, Gulam Muszaffar menerusi ciapan di Facebook rasminya memaklumkan, banyak perkara disentuh dalam sesi ‘walkabout’ bersama Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Wilayah Persekutuan, wakil DBKL dan Alam Flora yang diadakan baru-baru ini.
Beliau turut berharap gerak kerja bersama yang dilakukan itu dapat diadaptasi untuk selesaikan masalah keseluruhannya sekali gus memberi kesejahteraan kepada penduduk setempat.
Edisi 63 Wilayahku melaporkan, penduduk Taman Batu View menggesa tindakan diambil di kawasan sekitar perumahan mereka yang menjadi tapak sampah susulan longgokan sisa sisihan sayur dan buah akibat sikap tidak bertanggungjawab pembekal selain tiada tindakan penguatkuasaan daripada PBT. – WILAYAHKU