MAJORITI penduduk di sini memohon kerajaan memberikan tempoh cukai kenderaan yang dibeli dan berdaftar di Pulau Bebas Cukai (PBC) ditambah daripada 90 hari ke 120 hari untuk berada di luar kawasan bagi tempoh setahun.
Menurut pekerja swasta, Emma Shawina Harun, cadangan itu amat diperlukan berikutan kebanyakan mereka ketika ini mempunyai pelbagai urusan di Sabah khususnya mendapatkan rawatan susulan di hospital.
“Sejujurnya, tempoh yang diberikan itu memang tidak cukup untuk kami yang setiap bulan terpaksa menyeberang ke Sabah.
“90 hari itu kami boleh menikmatinya hanya untuk beberapa bulan sahaja. Jika tempoh itu habis, saya dan ahli keluarga lain terpaksa menyewa kereta di Sabah.
“Bagi kami yang masih berkemampuan ini kira boleh lagi bertahan. Namun bagaimana pula dengan mereka yang kurang berkemampuan?” katanya kepada Wilayahku.
Beliau turut berharap kerajaan dapat mendengar suara mereka dan memberikan tambahan tempoh kepada pemilik kenderaan yang berdaftar di PBC ini.
Bagi pesara kerajaan, Mohammad Hassan Kapal menyifatkan keperluan penambahan itu amat diperlukan bagi setiap penduduk di pulau itu.
Katanya, penduduk masih memerlukan perkhidmatan dan kemudahan fasiliti di Sabah untuk pelbagai urusan bukan sahaja dari segi kemudahan kesihatan malah urusan rasmi dan tidak rasmi.
“Seperti yang kita tahu, penduduk pulau ini mempunyai keluarga di Sabah dan jika berlaku sebarang kecemasan atau perkara yang tidak dijangka, kami perlu balik ke seberang.
“Tetapi jika kenderaan sudah habis tempoh maka ia menjadi sulit.
“Kami faham dan akur dengan undang-undang yang ditetapkan namun tempoh yang diberikan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ketika ini tidak mencukupi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Dewan Perniagaan India Labuan, Datuk Dahlif Singh menyokong cadangan tersebut berdasarkan keperluan penduduk dan kepentingan ekonomi.
Jelasnya, sebagai ahli perniagaan, sudah tentu pelbagai urusan perlu dilaksanakan yang melibatkan pergerakan termasuk perlu ke Sabah dengan kerap.
“Masalah ini bukan sahaja dialami oleh penduduk malahan ia turut memberikan kesan kepada para peniaga di pulau ini untuk melakukan pelbagai urusan perniagaan.
“Sebagai peniaga, kami memerlukan kenderaan persendirian untuk bergerak ke Sabah bagi mendapatkan bahan mentah dan sebagainya untuk dibekalkan ke Labuan meskipun pengangkutan logistik diuruskan pihak sana.
“Sebagai penduduk Labuan, saya merasakan memiliki kenderaan yang berdaftar di sini menjadi satu beban kepada kami kerana tempoh masa yang diberikan itu amat tidak mencukupi,” katanya.
Untuk rekod, JKDM Labuan menyita 34 kenderaan pelbagai jenama bernilai lebih RM 3.08 juta termasuk duti belum dibayar menerusi beberapa siri operasi tahun ini.
Pengarah JKDM Labuan, Aspalila Awang Tuah dilaporkan berkata, kenderaan mewah seperti BMW, Toyota Vellfire, Volkswagen, Mercedes-Benz dan Audi Q7 disita dalam operasi yang dijalankan di tanah besar Sabah.
Beliau berkata, sebanyak 34 kes dicatatkan berbanding 16 kes pada tahun sebelumnya.
Modus operandi sindiket adalah membawa kenderaan itu ke luar pulau bebas cukai, iaitu Kawasan Utama Kastam (KUK) menerusi kemudahan di bawah Butiran 14 Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017. – WILAYAHKU