Berita

Penduduk rayu perbaiki jalan rosak dan banjir kilat

JALAN kampung yang rosak terutama ketika musim hujan menyukarkan penduduk untuk keluar dan masuk
- Diterbit 12 Julai 2024 3:40 PM MYT

PENDUDUK Kampung Sungai Keling, menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan bertanggungjawab untuk menangani isu kerosakan jalan kampung dan pembangunan infrastruktur di kampung tersebut.

Menurut Ketua Kampung Sungai Keling, Goh Siew Liang, beliau sudah mengemukakan permohonan khususnya menaik taraf jalan raya serta kemudahan lampu jalan sehingga membahayakan keselamatan penduduk kepada pihak berwajib namun tiada jawapan diperolehi.

“Beberapa batang jalan di kampung ini mengalami kerosakan teruk di mana keadaannya sudah pecah dan berlubang selain tiang elektrik condong dan wayar elektrik tidak dibalut yang terdedah kepada bahaya.

“Masalah yang diadukan ini mendatangkan risiko keselamatan kepada penduduk atau pengguna yang menggunakan jalan ini,” katanya kepada Wilayahku.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) turut menggesa agensi terlibat untuk menyelesaikan masalah sistem perparitan yang menyebabkan beberapa kediaman sering dilanda banjir khususnya ketika musim hujan.

Katanya, kerja-kerja melebar dan memperbesarkan parit perlu dilakukan bagi mendalamkan lagi dasar selain memperbaiki tebing runtuh.

“Jika berlakunya hujan lebat, beberapa kawasan yang lebih rendah akan ditenggelami air selain sistem perparitan sekarang tidak mampu menampung air hujan kerana kecil dan tidak diselenggara sejak beberapa tahun.

“Bukan sahaja keadaan jalan yang bertambah buruk semasa hujan lebat tetapi juga berlaku banjir kilat sehingga beberapa buah rumah akan dinaiki air,” katanya.

Tambah Siew Liang, beliau akan mengangkat isu ini kepada pihak yang berwajib supaya masalah yang selama ini membelenggu penduduk kampung dapat diselesaikan selain kemudahan awam dinaik taraf sekali gus memberikan keselesaan dan kesejahteraan penduduk.

Dalam perkembangan lain, Siew Liang turut mencadangkan supaya kampung itu dijadikan sebagai tempat pelancongan di pulau tersebut.

Jelasnya, Kampung Sungai Keling dikenali sebagai perkampungan industri dan ia turut mempunyai tempat-tempat yang menarik untuk dipromosikan.

“Kampung ini mempunyai tempat-tempat yang menarik dan upacara kebudayaan seperti Chap Goh Mei yang mengetengahkan perarakan tanglung, tarian naga atau singa, opera Cina, dan mengimbang bendera besar Chingay,” katanya.

Ujar beliau, menerusi cadangan tersebut yang selari dengan misi kerajaan untuk menjadikan Labuan sebagai pulau pelancongan, beliau berpandangan ia akan memberikan lagi kesan positif dari segi ekonomi penduduk setempat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas