Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Penduduk rayu pantau kadar sewa rumah

- Diterbit 28 Jun 2024 3:10 PM MYT

SEGELINTIR penduduk yang berhijrah ke Labuan menyuarakan keluhan berikutan kadar harga rumah sewa yang ditawarkan semakin mahal dan membebankan khususnya golongan rentan.

Kebanyakan rumah kampung dan teres yang berukuran kurang daripada 800 kaki persegi ditawarkan pada harga bermula RM1,000 sehingga RM2,000 sebulan menyebabkan kesukaran kepada golongan pekerja yang memerlukan tempat perlindungan.

Di sebalik rungutan tersebut, tidak dinafikan ada penyewa yang sanggup membayar meskipun berikutan tiada pilihan lain selain perumahan awam yang disediakan kerajaan amat terhad.

Tinjauan Wilayahku mendapati ada segelintir golongan yang terpaksa mengikat perut disebabkan kos sara hidup yang agak tinggi di pulau ini di samping bayaran sewa rumah yang tinggi menyebabkan mereka menggesa kerajaan memantau perkara berkenaan supaya tiada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan disebabkan masalah tersebut.

Bagi pekerja swasta, Fedili Julaim, 35, dia dan isteri yang hanya memperolehi pendapatan di bawah RM3,500 perlu membayar RM1,200 sebulan bagi rumah kampung yang disewa mereka sejak beberapa tahun.

Katanya, dia dan isteri terpaksa akur dengan kadar harga sewa yang ditetapkan kerana bilangan rumah sewa di pulau itu terhad selain permintaannya tinggi menyebabkan harga yang ditawarkan turut meningkat.

“Kami terpaksa berjimat cermat untuk membayar sewa rumah meskipun agak mahal namun kita yang bekerja di sini terpaksa terima walaupun ia membebankan.

“Sejujurnya kadar sewa di sini amat mahal berbanding di tempat lain, malah dengan harga sebegitu, kami boleh mendapat rumah sewa yang lebih selesa,” katanya.

Beliau yang berasal dari Sarawak berkata mereka sekeluarga terpaksa berkorban banyak perkara bagi memastikan perbelanjaan bulanan yang merangkumi bayaran sewa, bil utiliti dan keperluan dua anak yang masih bersekolah dapat disediakan.

“Memang kami terasa beban dengan kenaikan sewa rumah kerana enam tahun dahulu sewa rumah di sini hanyalah di bawah RM900 sahaja berbanding masa ini,” katanya.

Md Johari Md Jamri, 34, terpaksa akur dan ‘pejam mata’ untuk membayar sewa rumah yang agak tinggi sekitar RM1,200 sebulan demi meneruskan kehidupan sebagai perantau di pulau ini.

Dia yang berasal dari Sabah berkata sewa bulanan rumah itu sahaja sudah satu per empat daripada pendapatan bulanannya yang digabungkan dengan isteri.

“Jika dibandingkan kadar sewa rumah sekitar tahun 2015 hanyalah di bawah RM700 sahaja berbanding sekarang. Ia amat membebankan kepada kami sebagai golongan berpendapatan rendah.

“Kami suami isteri terpaksa akur dengan harga itu kerana tiada pilihan lain lagi kerana di sinilah sumber pendapatan kami,” katanya.

Md Johari tidak menafikan bahawa terdapat rumah sewa yang murah di sekitar Labuan, namun sudah tentu rumah ada penyewa.

“Kebanyakan rumah sewa murah terletak jauh dari bandar selain keadaan dan persekitaran rumah yang tidak selesa,” katanya.

Sementara itu, bagi pemilik rumah sewa flat di Perumahan Taman Mutiara, Ramlan Abidin berkata sebagai tuan rumah kutipan sewa yang diambil itu hanyalah untuk melangsaikan bayaran ansuran rumah, caj-caj berkaitan termasuk penyelenggaraan dan sebagainya.

“Saya telah mengusahakan rumah sewa sudah lebih 10 tahun, kutipan yang saya kenakan kepada penyewa itu merupakan kadar yang berpatutan jika dikira dengan bayaran ansuran bank dan komitmen lain. Jika ada lebihan sekalipun, ia adalah pendapatan sampingan dan tidaklah sebanyak mana,” katanya.

Beliau tidak menafikan memang ada segelintir pemilik rumah yang mengenakan kadar sewaan yang tinggi bertujuan mengaut keuntungan selain menjana pendapatan pasif menerusi hartanah tersebut.

“Contohnya saya sendiri bukan sahaja perlu bayar bayaran ansuran rumah, malah cukai pintu dan pembayaran yuran penyelenggaraan. Itu belum lagi dikira dengan kerosakan lain atau kes terpencil yang perlu ditanggung pemilik rumah disebabkan kerenah penyewa yang pelbagai ragam.

“Keuntungan hasil daripada sewaan rumah ada juga disimpan untuk tujuan perbelanjaan baik pulih atau penyelenggaraan yang perlu,” katanya.

Menurut Ramlan, kadar sewa bagi rumah persendirian atau rumah kampung pula ditentukan oleh kos-kos bahan binaan yang ditanggung oleh pemilik.

Jelasnya, kos pembinaan sesebuah rumah mempengaruhi kadar sewa kerana bahan binaan dibawa masuk dari Sabah agak tinggi berbanding di kawasan lain berikutan kos pengangkutan yang meningkat beberapa tahun kebelakangan ini.

“Majoriti rumah kampung yang disewakan itu ditanggung sepenuhnya oleh pemilik dan harga barang binaan di pulau ini agak mahal berbanding di Sabah.

“Pemilik juga perlu menanggung banyak komitmen lain yang menyebabkan kadar sewa perlu dinaikkan namun kebanyakan harga sewaan di sini masih sesuai dengan nilai hartanah semasa,” katanya.

Ujarnya, sebagai pemilik tiada sebab hendak bertahan pada kadar yang lama berikutan kebanyakan pemilik sudah menaikkan kadar sewaan bulanan.

“Andai seorang bakal penyewa tidak berminat dan kurang mampu pada harga yang ditetapkan, mungkin ada penyewa lain yang lebih mampu,” katanya.

Pemilik rumah sewa, Corina Anak Limping turut menyuarakan pendapat yang sama bahawa kadar sewa yang dikutip hanyalah untuk bayaran ansuran rumah dan caj-caj penyelenggaraan yang perlu ditanggung sebagai pemilik rumah.

“Salah satu faktor utamanya adalah nilai harga tanah di Labuan amat mahal dan itu belum lagi tanah di kawasan berdekatan dengan bandar utama, kadar sewaannya pasti lebih mahal berbanding di kawasan perkampungan.

“Selain itu bilangan rumah di sini amat terhad dan permintaan untuk rumah sewa amat tinggi menjadikan kadar sewa bulanan melonjak,” katanya.

Corina berkata sebagai pemilik rumah, beliau terpaksa mengenakan kadar sewa mengikut pasaran pada kadar RM900 hingga RM2,000 mengikut jenis rumah itu sendiri.

“Seperti mana yang semua penduduk Labuan tahu bahawa kos sara hidup di pulau ini agak tinggi berbanding dengan kawasan lain maka itulah salah satu faktornya kenapa kadar sewa dikenakan dengan harga sebegitu,” katanya.

Tambah Corina, beliau dan pemilik rumah yang lain hanya mengikut harga pasaran semasa hartanah di Labuan.

“Sebagai pemilik rumah, kami tidaklah mahu mengenakan kadar sewa yang membebankan penyewa, jika penyewa bersetuju dengan sewa yang ditetapkan, kami bersyukur. Namun jika penyewa merasa keberatan dengan sewa itu, kami sebagai tuan rumah akan mencari penyewa yang berkemampuan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas