Berita

Penduduk Labuan diseru kekalkan tatasusila

KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman menyeru warga Labuan agar mengekalkan tatasusila.
- Diterbit 20 Mei 2021 11:27 AM MYT

KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman menyeru warga Wilayah Persekutuan Labuan agar mengekalkan tatasusila terhadap isu-isu yang timbul sejak beberapa hari lalu.

Katanya, ia susulan berlaku kenyataan media yang mengaitkan sepasang suami isteri yang menjadi punca penularan COVID-19 di Tawau, Sabah dan terdapat kenyataan lain mengenai penamaan kampung yang tidak wujud.

“Saya menghargai keprihatinan warga Labuan terhadap isu yang dibangkitkan dan tindak balas ini tercetus kerana kita sayangkan Labuan.

“Kita tidak mahu keharmonian yang kita pelihara dan budayakan selama ini akan tergugat dengan kenyataan-kenyataan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas beliau lagi, kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Menteri Kewangan II Negeri Sabah telahpun diperbetulkan.

Justeru itu, beliau menegaskan agar perkara itu tidak lagi dibahaskan di platfom media sosial agar tidak mengeruhkan hubungan erat yang terjalin.

Mengulas mengenai isu penamaan kampung yang tidak wujud tersebut, Fary berkata kawasan itu hanya merujuk skim penempatan sementara dan khusus bagi tujuan kertas siasatan yang mana berlakunya penangkapan di kawasan itu.

“Kawasan tersebut tidak disenaraikan sebagai kampung di Labuan secara rasmi lagi.

“Jabatan-jabatan Kerajaan dinasihatkan agar merujuk Perbadanan Labuan sebagai peneraju pulau ini dalam isu-isu pentadbiran dan pewartaan nama-nama kawasan di Labuan,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas