Berita

Penduduk Kampung Sungai Baru dijamin rumah ganti, di bayar pampasan sehingga RM8.1 juta

KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN kini merangka pendekatan pembangunan baru untuk tempoh 20 tahun akan datang sepertimana ditetapkan Pelan Induk Pembangunan Kampong Bharu 2040. PEMANDANGAN kawasan perumahan suasana kampung bertempat di
- Diterbit 25 Februari 2025 7:27 PM MYT

PENDUDUK asal Kampung Sungai Baru, Kampong Bharu tidak akan terpinggir dalam projek pembangunan semula kawasan tersebut bahkan akan diberi pelbagai tawaran menarik termasuk rumah gantian, bayaran pampasan serta kemudahan lain yang disediakan oleh pemaju.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, pemaju telah menawarkan beberapa bentuk insentif kepada pemilik tanah dan unit flat yang terlibat, termasuk unit gantian berkeluasan 969 hingga 1,200 kaki persegi, bayaran persetujuan usaha sama, kos perpindahan rumah, bayaran ex-gratia ubah suai rumah, sewaan sementara di Residensi Kerinchi atau KL Gateway serta lebihan bayaran tunai untuk pemilik lot teres.

“Pemilik unit flat akan menerima rumah gantian dengan nilai anggaran antara RM884,000 hingga RM1 juta, manakala pemilik lot teres bakal menikmati antara tiga hingga sembilan unit rumah gantian, dengan nilai tawaran antara RM2.7 juta hingga RM8.1 juta, selain lebihan bayaran tunai,” katanya ketika sesi penggulungan di peringkat kementerian di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan ini bukan sekadar mengutamakan keuntungan pemaju, tetapi juga bertujuan memelihara identiti dan warisan Kampong Bharu sebagai sebuah kawasan penempatan Bumiputera yang bersejarah.

“Projek ini merupakan sebahagian daripada usaha pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang melibatkan kerjasama pemilik tanah dan KL City Gateway Sdn. Bhd. (KLCG), syarikat pemaju hartanah yang sebelum ini dikenali sebagai Ritzy Gloss Sdn. Bhd.

“Pada 15 November 2024, Sunsuria Berhad telah memperoleh 20 peratus kepentingan dalam KLCG, sekali gus memainkan peranan penting dalam pelaksanaan pembangunan yang dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.68 bilion.

“Pembangunan ini juga selari dengan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040), Pelan Induk Pembangunan Semula Kampong Bharu 2040 (PIPKB 2040) serta Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Kampong Bharu (PPPSKB). Dokumen perancangan ini menetapkan keperluan untuk membangunkan kawasan yang telah usang dan tidak selamat, bagi menyediakan penempatan yang lebih kondusif serta memberikan nilai tambah dalam aspek ekonomi.

“Dengan pembangunan semula ini, penduduk akan menikmati persekitaran lebih moden dan selesa, berbanding keadaan sedia ada yang diklasifikasikan sebagai kawasan lama dan tidak kondusif,” katanya.

Zaliha turut menjelaskan bahawa kawasan Kampung Sungai Baru berada di luar Kawasan Petempatan Pertanian Melayu (Malay Agricultural Settlement – M.A.S), yang bermaksud ia tidak terikat dengan sekatan pemilikan tertentu.

“Oleh itu, pembangunan semula kawasan ini boleh dilaksanakan dengan lebih fleksibel, tanpa mengabaikan kepentingan dan hak penduduk asal,” katanya.

Menjelas lanjut, Zaliha berkata proses pembangunan semula ini tidak melibatkan sebarang tender, sebaliknya pemilihan pemaju dibuat berdasarkan persetujuan pemilik tanah sendiri.

“Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) tidak mempunyai kuasa dalam menentukan pemaju namub tetapi tetap berperanan sebagai fasilitator bagi memastikan projek berjalan lancar serta hak pemilik tanah sentiasa terpelihara.

“Pemaju sendiri telah memulakan rundingan dengan pemilik tanah sejak tahun 2016 hingga Oktober 2020, dan persetujuan dicapai tanpa campur tangan kerajaan dan ia bermakna, pembangunan yang sedang berjalan adalah hasil perbincangan yang panjang antara pemilik tanah dan pemaju, tanpa paksaan atau arahan pihak berkuasa,” katanya.

Tambah beliau, dengan segala insentif yang ditawarkan, pembangunan semula Kampung Sungai Baru dijangka membawa manfaat besar kepada penduduk, sekali gus mengubah wajah kawasan Kampong Bharu menjadi sebuah penempatan moden yang lebih tersusun.

“Walaupun terdapat pelbagai cabaran dalam pelaksanaan projek ini, kerajaan dan pemaju komited untuk memastikan hak dan kesejahteraan penduduk terus terjamin,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas