Berita

Penduduk berisiko banjir digesa ambil langkah pencegahan sewajarnya

- Diterbit 6 November 2023 8:28 AM MYT

PENDUDUK di kawasan berisiko banjir digesa mengambil langkah pencegahan sewajarnya dan sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi maklumkan perkara tersebut bagi mengelak dan mengurangkan impak bencana terhadap nyawa dan harta benda.

“Saya juga menyarankan agar penduduk yang berada kawasan yang mudah terkesan banjir untuk merujuk maklumat terkini dari sumber yang sahih.

“Orang ramai boleh dapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook: PubliclnfoBanjir dan Twitter: @JPS InfoBanjir.

“Bagi maklumat cuaca pula, orang ramai boleh muat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memberitahu, sehingga pukul 12.00 tengah hari, hari ini, bilangan negeri yang terkesan banjir kekal di tiga buah negeri dimana enam daerah iaitu di negeri Perak, Selangor, dan Pahang masih terjejas.

“Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sehingga pukul 6.00 pagi ini terdapat tiga sungai yang bacaan air berada diparas bahaya iaitu Kampung Sri Paya: Sungai Pontian Besar Kulai, Johor Bahru; Changkat Jong: Sungai Perak Hilir Perak; dan Bangi Lama: Sungai Langat, Hulu Langat, Selangor,” jelas.

Tambah Zahid, pada pukul 7:30 pagi tadi, MetMalaysia telah mengeluarkan ramalan Cuaca Signifikan bagi tempoh 6 hingga 8 November 2023.

“Berdasarkan analisis model cuaca tersebut, ribut petir beserta hujan lebat dan angin kencang dijangka akan berlaku dikebanyakkan tempat.

“Antaranya di kawasan pedalaman dan barat Semenanjung, utara Sarawak serta barat Sabah terutamanya pada sebelah petang hingga malam sepanjang tempoh ramalan,” ujarnya.

Beliau turut berdoa dan berharap agar kejadian ini tidak membawa kerosakan yang besar serta semua mangsa tabah dan sabar melalui dugaan ini. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas