SAMBUTAN Hari Haiwan Sedunia tanggal 4 Oktober setiap tahun tidak membawa apa-apa makna jika jenayah atau penganiayaan terhadap haiwan tidak pernah berhenti malah semakin menjadi-jadi.
Sejauh manakah sebenarnya masyarakat kita prihatin terhadap kebajikan haiwan apabila sering kali kita dihidangkan berita jenayah dan kezaliman terhadap haiwan.
Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika berkata kes jenayah dan kekejaman haiwan terus berlaku kerana tiadanya kesedaran dan pendidikan haiwan yang masih ‘hijau’ di Malaysia.
“Sebenarnya, kekejaman terhadap haiwan adalah disebabkan masih ramai golongan yang tidak dapat kesedaran. Ini bermakna, masih ramai yang tidak faham dan tiada pendidikan haiwan.
“Pendidikan haiwan sebenarnya masih baru di negara kita. Kalau dulu kita tengok zaman dulu, jenayah haiwan dianggap biasa kerana ketika itu melastik burung merupakan sukan dan hobi. Begitu juga menangkap ikan, memburu binatang-binatang kecil seperti belalang.
“Pendedahan ini sedari kita kecil sampai sekarang, akhirnya hari ini baru kita tahu ada undang-undang. Proses (kesedaran) itu sudah tentu mengambil masa serta dalam masa yang sama perlu terus diperkasakan oleh kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan kami juga bertanggungjawab memberi pendidikan secara langsung kepada masyarakat Malaysia.
“Macam saya cakap tadi, ia perlukan masa. Dalam masa yang sama, kita kena bertindak cepat,” katanya kepada Wilayahku.
Arie ditemui pada Majlis Penutup Karnival Kucing Madani, di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri PMgr Sr Kamarulzaman Mat Salleh; Pengerusi Social and Economic Research Initiative (SERI), Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin dan pelakon, Putra Amaris.
Arie juga menegaskan Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan denda dan penjara terhadap pelaku masih lagi tidak mampu menghentikan perbuatan kejam manusia terhadap haiwan.
“Bagi saya undang-undang yang ada sudah cukup. Namun masih ramai lagi yang tidak ‘cerdik’ tentang hak haiwan. Tidak ada alasan dalam isu ini kerana semua agama asuh kita dari kecil untuk mengasihi, memberi hak dan menghormati haiwan. Tapi nampaknya ada yang tidak ikut pendidikan agama. Langgar suruhan agama. Apatah lagi apabila bercakap tentang pendidikan haiwan pada hari ini.
“Agama sudah mengajar (kasihi haiwan), tapi mereka menolak ajaran itu. Jadi, pokok pangkalnya adalah ia datang dari sifat belas ihsan dalam diri kita. Ini bermakna, kalau jenayah haiwan masih berlaku bererti masih ramai lagi dalam kalangan kita tidak mempunyai sifat empati,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Arie memuji usaha Persatuan Rakan Kucing Malaysia (PRKM), Parlimen Bandar Tun Razak, DBKL dan SOCIAL Pets menganjurkan Karnival Kucing Madani yang memberi banyak info tentang haiwan yang sepatutnya menjadi peranan kita semua.
“Saya lihat acara sebegini boleh memberi impak yang baik. Namun bagi saya, Kalau orang luar sana tak suka haiwan, mereka tidak hadir.
“Jadi isunya adalah bagaimana menarik mereka yang menolak haiwan ini. Golongan inilah yang perlu dilibatkan sebenarnya. Kita kena buat sesuatu untuk memupuk kesedaran tentang haiwan.
“Kalau tak minat haiwan, kita tak boleh paksa. Jadi, janganlah usik (ancam) haiwan itu kalau tak minat,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU