Berita

Pendidikan fokus utama YWP, hala tuju lebih proaktif

- Diterbit 14 Januari 2025 2:30 PM MYT

MEMASUKI tahun ke-39 penubuhannya, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) terus komited membantu menaik taraf hidup golongan berpendapatan rendah (B40) dan yang memerlukan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.

Lima kluster utama iaitu Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi (P.E.S.A.T) menjadi penanda dalam perkhidmatan dan gerak kerja. Sempena tahun 2025, perancangan lebih jitu telah dirangka bagi mencapai sasaran untuk membantu lebih ramai golongan yang memerlukan sekali gus menyahut misi kerajaan dalam menoktahkan miskin bandar.

Bagi menyelami lebih lanjut hala tuju YWP, ikuti temu bual eksklusif wartawan Wilayahku, DIANA AMIR bersama Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif YWP, DR ABDUL BASIR V KUNHIMOHAMED.

Boleh Dr kongsikan perancangan YWP untuk tahun 2025?

Selaras usaha Kerajaan MADANI untuk memperkasa aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), YWP sedang merangka inisiatif baharu yang akan memberi tumpuan kepada latihan kemahiran dan pendidikan, supaya penerima bantuan dapat membina kehidupan yang lebih mampan.

Sejak tahun lalu kita berkolaborasi dengan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Utara untuk memberikan kursus kemahiran jangka pendek dalam bidang teknikal dan vokasional kepada pelatih selain menjamin penempatan kerja dengan pelbagai agensi berkaitan.

Selain itu, YWP merancang untuk memperluaskan bantuan terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan keluarga yang memerlukan. Tumpuan akan diberikan untuk meningkatkan lagi keberkesanan program yang sedia ada seperti bantuan kewangan dan bantuan keperluan asas.

 

Keluarga B40 berdepan komitmen tinggi bukan sahaja untuk perbelanjaan sesi persekolahan bahkan sambutan Ramadan dan Aidilfitri juga dalam masa terdekat. Bagaimana pendekatan yang dicadang YWP?

YWP akan menyalurkan bantuan persekolahan lebih awal untuk memastikan keluarga B40 mempunyai masa yang cukup untuk menyediakan kelengkapan anak-anak mereka. Bantuan tersebut akan merangkumi buku sekolah, pakaian sukan dan kokurikum serta yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Bantuan ini akan disalurkan terus ke akaun PIBG agar setiap pengeluaran kepada pelajar yang layak, disahkan oleh pihak sekolah. Sementara itu, kami juga sedang mempertimbangkan pemberian bantuan khusus untuk persiapan Aidilfitri bagi meringankan beban kewangan mereka.

Apakah bantuan lain yang akan turut diberi tumpuan tahun ini?

Walaupun pendidikan menjadi keutamaan YWP, namun kami turut memperluas fokus bantuan kepada sektor kesihatan dan kebajikan kerana pada tahun lalu ramai yang memohon bantuan perubatan seperti kerusi roda dan sebagainya. Selain, itu terdapat juga yang tidak mampu membayar kos perubatan terutama dialisis, kami menerima permohonan yang banyak untuk itu, jadi kami akan tambah baik bantuan tersebut supaya lebih ramai dapat dibantu. Bantuan ini termasuk juga program sokongan mental untuk golongan yang memerlukan.

Dalam pada itu, kami sedang merangka program pemerkasaan ekonomi yang melibatkan latihan keusahawanan dan kemahiran bagi membantu penerima mengukuhkan kedudukan ekonomi keluarga mereka.

 

Apakah inisiatif YWP untuk menarik lebih banyak agensi atau syarikat sama-sama menyumbang dengan YWP?

YWP akan melancarkan beberapa inisiatif seperti Kempen Bersama Membantu yang menggalakkan lebih banyak syarikat untuk menyumbang melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan pempengaruh.

Kami juga bekerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta untuk menganjurkan pelbagai acara amal seperti larian, semua hasil yang diperolehi akan disalurkan kepada golongan memerlukan.

Selain itu, YWP turut bekerjasama dengan syarikat-syarikat yang membayar wakalah. Kami menyediakan pengecualian cukai serta liputan media untuk mereka yang menyumbang ke tabung YWP. Sehingga kini kami sudah mempunyai beberapa rakan strategik seperti Maybank, Tabung Haji, Exim Bank serta beberapa agensi korporat.

 

Apakah perancangan YWP bersempena Ramadan akan datang?

YWP bercadang untuk melancarkan satu platform sumbangan mikro secara atas talian sempena Ramadan. Platform ini akan membolehkan orang ramai menyumbang wang tunai serendah RM2. Setiap sumbangan juga akan mendapat resit pengecualian cukai yang dijana secara atas talian. Dengan adanya platform ini, kami berharap dapat mempermudahkan proses penyaluran sumbangan kepada golongan yang layak dengan lebih cepat dan efisien.

Selain itu, kami merancang untuk mengadakan Karnival Aidilfitri yang menghimpunkan usahawan-usahawan bagi jualan kelengkapan raya di satu tempat namun itu masih dalam perancangan.

 

Boleh Dr kongsikan status terkini berkenaan perancangan YWP untuk membuka cawangan di Labuan?

Setakat ini, perancangan YWP ke arah itu sudah mencapai 20 peratus dan kami menjangka cawangan Labuan akan mula beroperasi pada suku ketiga tahun 2025.

Pada awalnya ia hanya cadangan bagi memudahkan penduduk Labuan mendapatkan maklumat terkini berkenaan bantuan di bawah YWP dan pada masa ini kita bekerja rapat dengan rakan strategik seperti Perbadanan Labuan (PL), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) serta syarikat korporat yang memberi sumbangan kepada YWP bagi menyerahkan bantuan. Alhamdulillah perkara ini disambut baik oleh pihak Perbadanan Labuan dan kami sedang bekerjasama untuk menjadikan ia kenyataan.

Untuk makluman, cawangan ini akan beroperasi seperti Pusat Pemerkasaan Pendidikan dan Komuniti (PREPKOM) yang terdapat di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sekitar Kuala Lumpur yang menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti bantuan pendidikan, program kemahiran serta bantuan kebajikan untuk komuniti setempat.

 

Apa harapan Dr untuk tahun 2025?

Harapan saya agar YWP terus menjadi peneraju dalam memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan, terutamanya dalam kalangan B40 di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Saya berharap bantuan ini bukan sahaja dapat mengurangkan beban kewangan mereka, tetapi juga membantu membina masa depan yang lebih cerah dan stabil.

Saya juga mengharapkan agar lebih banyak pihak swasta dan awam dapat bekerjasama dengan YWP dalam menjayakan inisiatif-inisiatif kebajikan yang telah dirancang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas