PERANAN ibu bapa dalam agama Islam adalah amat besar. Anak-anak seperti kain putih yang bersih. Jika betul corak dan warnanya, maka cantiklah hasilnya nanti.
Rasulullah SAW bersabda, “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua-dua ibu bapanyalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi.” – Hadis Riwayat Bukhari 1385.
Maksud fitrah dalam hadis tersebut, setiap anak-anak yang dilahirkan sebagai Muslim, maka ibu bapanya bertanggungjawab memberikan ajaran agama yang sempurna agar mereka kekal atas fitrah Islamnya serta tidak dipengaruhi sesuatu yang merosakkan fitrah kejadiannya.
Maka, jelaslah di sini betapa besarnya peranan ibu bapa sejak anak tersebut dalam kandungan sehinggalah ke akhir hayatnya. Ternyata tugas itu bukanlah perkara yang mudah kerana amanah yang diberi oleh Allah SWT ini perlu dijaga sebaik-baiknya.
Daripada Ibnu Umar RA, Baginda Rasulullah SAW menerangkan bahawa setiap daripada kita ini adalah pemimpin dan akan dipersoalkan tentang perkara yang menjadi jagaan kita.
Untuk itu, ibu bapa sendiri perlu mempunyai ilmu agama, jika tidak maka anak-anak akan mengalami kepincangan akhlak pada masa hadapan. Pendidikan agama bermula di rumah sendiri kerana anak-anak mempunyai masa yang panjang bersama kita.
Biarpun di sekolah turut diajarkan pengajian Al-Quran dan fardu ain namun tidak munasabah jika hanya mengharapkan anak-anak memperolehinya di luar semata-mata.
Pendakwah bebas, Shahrin Abd Rahman berkata adalah menjadi tanggungjawab bagi ibu bapa untuk mengajar dan mendidik anak-anak agar mematuhi hukum-hukum syarak.
“Anak-anak perlu diajar ilmu agama tanpa hanya mengharapkan daripada kelas-kelas agama. Janganlah ambil sikap sambil lewa terhadap perkara ini kerana ia adalah satu perkara yang wajar diberi perhatian.
“Jika ibu bapa hanya mengharapkan kelas-kelas agama tanpa diterapkan nilai tersebut di rumah akan menyebabkan anak-anak merasakan bahawa agama hanya terhad di sekolah sahaja bukan di rumah dan lingkungannya.
“Di sini mereka akan bebas melanggar hukum tanpa batas di luar dari kelas-kelas tersebut,” ujar beliau ketika dihubungi.
Tambahnya, perkara utama adalah pendidikan agama kerana orang yang berilmu takut kepada Allah kerana apabila seseorang mengenali Allah, akan timbul rasa takut di dalam diri.
“Terdapat sesetengah ibu bapa yang terlalu bersifat terbuka (open-minded) di dalam mendidik. Golongan seperti ini tidak menetapkan peraturan untuk mendisiplinkan anak.
“Malah mereka juga mementingkan kebebasan daripada memupuk sifat kebertanggungjawaban anak-anak. Kajian menunjukkan kelebihan mendidik anak secara terbuka boleh memberikan kesan yang buruk apabila mereka membesar,” katanya.
Jelasnya, jika mengabaikan didikan agama, anak akan menjadi kurang beretika malah tidak berdisiplin seperti bebas untuk memilih masa tidur, membuat kerja rumah, memilih masa makan dan menonton televisyen.
“Selain itu, mereka juga gemar untuk membuat keputusan yang membahayakan diri sendiri dengan menentukan apa yang dilakukan tanpa perlu bertanya.
“Mereka juga berdepan dengan masalah emosi kerana kurang pengawalan serta suka mementingkan diri sendiri. Zaman gajet yang serba canggih ini memerlukan ibu bapa bijak dalam mendidik anak-anak.
“Malah kini ramai ibu bapa prihatin yang tercari-cari teknik terbaik untuk mendidik. Namun tidak ada cara lain yang lebih baik selain cara yang telah ditunjuk ajar oleh Baginda Rasulullah SAW,” katanya. – WILAYAHKU