KEKERASAN melampau dan penderaan fizikal menjadi antara punca insiden 131 tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor (DISB) pada 1 Februari 2024.
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dalam satu kenyataan memaklumkan hasil siasatan mendapati kekerasan dan penderaan terhadap tahanan etnik Rohingya telah bermula dari tahun 2020 hingga 2021 ketika mereka ditempatkan di Kem Wawasan Langkawi, sebelum dipindahkan ke beberapa depot imigresen termasuk DISB.
“Beberapa pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di DISB, termasuk dua orang pegawai yang pernah bertugas di Kem Wawasan Langkawi sebelum ditukarkan ke DISB, didapati telah melakukan kekerasan yang melampau serta penderaan fizikal dan mental terhadap tahanan etnik Rohingya sehingga mengakibatkan kecederaan kepada mereka.
“Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk syor hukuman terhadap pegawai-pegawai yang terlibat kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) JIM,” katanya.
Jelasnya siasatan yang dijalankan EAIC adalah berdasarkan aduan yang diterima dan mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
“Antara faktor lain bagi insiden tersebut adalah pegawai dari JIM dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas di DISB didapati tidak peka terhadap keadaan sekeliling sebelum insiden tersebut (melarikan diri) berlaku dan kegagalan dalam pemantauan di mana pegawai kanan dan penyelia di DISB gagal memantau dan bertindak untuk mengawal keadaan semasa insiden tersebut.
“Selain itu, terdapat kelemahan infrastruktur di mana bangunan DISB yang merupakan bekas Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), mempunyai kelemahan infrastruktur yang tidak memenuhi standard diperlukan untuk berfungsi sebagai depot tahanan,” ujarnya.
Tambahnya cadangan penambahbaikan infrastruktur depot tahanan juga akan dikemukakan kepada Ketua Pengarah JIM.
“EAIC telah membuat laporan polis mengenai isu kekerasan dan penderaan terhadap tahanan etnik Rohingya di DISB dan Kem Wawasan Langkawi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya. – WILAYAHKU