PENDEKATAN yang dilaksanakan secara bottom up dalam memperkasakan komuniti miskin bandar di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menerusi Program Usaha Jaya Insan (PUJI) di bawah kluster Upaya@PUJI perlu disokong dengan strategi menyeluruh merangkumi pendidikan, kesihatan, pekerjaan, perumahan dan penyelarasan antara agensi.

Pengarah Pusat Kajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC) Universiti Malaya (UM), Profesor Datin Sri Dr. Suhaiza Hanim Mohamad Zailani menyifatkan inisiatif yang dipimpin Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa sebagai langkah yang baik kerana ia memberi ruang kepada komuniti untuk memainkan peranan aktif dalam pembangunan mereka sendiri.
“Pendekatan ini penting untuk memastikan penyelesaian yang dirancang benar-benar selari dengan keperluan dan realiti masyarakat setempat. Daripada program-program komuniti yang dijalankan oleh kami di UAC, kami menggunakan model penglibatan komuniti seperti Model Asset-Based Community Development (ABCD) yang menekankan penggunaan aset dan sumber sedia ada dalam komuniti untuk membina keupayaan mereka.
“Selain itu, Participatory Action Research (PAR) juga diterapkan di UAC bagi membolehkan komuniti bukan sahaja menjadi penerima manfaat tetapi juga terlibat dalam kajian dan pelaksanaan program secara aktif,” katanya kepada Wilayahku pada Rabu.
Jelas beliau, isu kemiskinan bandar tidak hanya melibatkan kekurangan pendapatan tetapi juga aspek kesihatan, pendidikan dan keadaan hidup.
“Jika inisiatif Dr Zaliha hanya tertumpu pada pemberian bantuan kewangan atau barangan, ia tidak mencukupi untuk menangani punca sebenar kemiskinan kerana mengukur kemiskinan perlu menyeluruh kerana kemiskinan adalah multidimensi.
“UAC telah menjalankan penyelidikan MPI dan maka itu langkah tambahan yang boleh dicadangkan termasuk Pembangunan Ekonomi Berteraskan Komuniti yang menyediakan program latihan kemahiran dan keusahawanan yang sesuai dengan keperluan industri tempatan.
“Kami juga mencadangkan supaya dilaksanakan intervensi pendidikan berstruktur dengan pemberian biasiswa, kelas tambahan dan program bimbingan untuk membantu anak-anak keluarga miskin keluar daripada kitaran kemiskinan, akses kesihatan dan pemakanan demi memastikan kesejahteraan komuniti miskin serta dasar Perumahan Mampu Milik yang berusaha meningkatkan akses kepada perumahan selesa dengan harga yang berpatutan bagi mengelakkan kemiskinan berulang akibat kos sara hidup tinggi,” katanya.
Beliau berkata, untuk memastikan reformasi ini berkesan, ia perlu digabungkan dalam satu dasar holistik yang diselaraskan melalui pelan tindakan kemiskinan bandar jangka panjang yang melibatkan semua pihak berkepentingan.
“Antara reformasi yang boleh dilaksanakan adalah memastikan koordinasi antara agensi untuk mengelakkan pendekatan terasing dengan Penubuhan Pusat Koordinasi Kemiskinan Bandar (PKKB) sebagai platform utama untuk komunikasi dan penyelarasan inisiatif antara semua pihak berkepentingan.
“Penggunaan Sistem Pangkalan Data Bersepadu bagi memastikan semua bantuan dan intervensi direkodkan dengan telus dan mengelakkan pertindihan bantuan dan mesyuarat berkala antara agensi bagi menyelaraskan matlamat dan menyesuaikan strategi berdasarkan keperluan semasa,” katanya.
Dr Suhaiza berkata, dalam usaha memastikan program ini bergerak di landasan yang tepat, suara golongan miskin bandar perlu diambil kira dalam perancangan program pembasmian kemiskinan bagi memastikan ia benar-benar memenuhi keperluan mereka.
“Mekanisme yang boleh digunakan adalah dengan mengadakan Majlis Perwakilan Komuniti Miskin Bandar (MPKMB) iaitu sebuah badan yang dianggotai oleh wakil komuniti miskin untuk menyuarakan keperluan dan cadangan mereka secara langsung kepada pembuat dasar.
“Menerusi platform tersebut, Menteri boleh menganjurkan sesi dialog dan konsultasi terbuka yang berfungsi untuk menerima dan memberikan maklum balas secara terus, membina platform digital untuk masyarakat menyuarakan masalah dan cadangan mereka secara real-time menerusi aplikasi dan melaksanakan kajian secara berkala untuk menilai impak bantuan dan memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya. – WILAYAHKU