Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
PUTRAJAYA – Pendaftaran bagi menduduki Perumahan Bandar (micro housing) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tunku Abdul Rahman (Jalan TAR) telah dibuka sejak Selasa lalu.
Pengarah Perancangan Korporat DBKL, Norhaslinda Nordin berkata, permohonan tersebut boleh dilakukan melalui laman sesawang http://eperumahan.dbkl.gov.my.
“Kategori sewaan adalah mengikut bilangan katil yang disediakan di setiap bilik dan tingkat di dalam bangunan tersebut. Bilangan katil yang disediakan adalah empat dan enam katil bagi satu bilik.
“Kadar sewaan yang dikenakan adalah RM100 sebulan termasuk penggunaan elektrik dan air. Cagaran sewa yang diambil adalah untuk dua bulan dan tempoh penyewaan adalah 12 hingga 18 bulan,” katanya dalam satu kenyataan.
Perumahan Bandar DBKL diperkenalkan bagi membantu golongan bujang yang kurang berkemampuan khususnya mereka yang datang dari luar kawasan Lembah Klang termasuk Sabah dan Sarawak serta tidak mempunyai saudara mara di Kuala Lumpur.
Ia juga merupakan sewaan bersifat sementara selaras dengan matlamat untuk menempatkan anak-anak muda yang baru memasuki alam pekerjaan serta belum berkahwin.
Perumahan Bandar DBKL turut dilengkapi kemudahan asas antaranya katil dan almari untuk keselesaan penyewa. – WILAYAHKU
