KERAJAAN akan memberikan kerjasama penuh jika pencarian pesawat Malaysia Airlines, MH370, membuahkan hasil yang dinanti-nantikan selama ini.
Demikian ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas lebih sedekad pesawat tersebut hilang dari radar pada 8 Mac 2014.
Walau bagaimanapun katanya, pada pandangan beliau, kerajaan perlu mengimbangi keperluan mencari MH370 tetapi pada masa sama memastikan nilai terbaik dalam membelanjakan wang rakyat.
“Masih banyak persoalan dan misteri belum lagi terungkai (membabitkan kehilangan pesawat MH370).
“Bukan sahaja keluarga dan waris malah rakyat juga berhak untuk mendapatkan jawapan akan segala persoalan.
“Justeru kerajaan akan memberikan kerjasama sepenuhnya jika pencarian berjaya membuahkan hasil yang dinanti-nantikan selama ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Pada Jumaat lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Kabinet secara prinsip menerima tawaran syarikat robotik marin, Ocean Infinity untuk meneruskan operasi pencarian pesawat MH370.
Beliau berkata, operasi pencarian dasar laut tersebut akan tertumpu di lokasi baharu dianggarkan berkeluasan 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.
Jelasnya, operasi pencarian itu akan dilaksanakan oleh Ocean Infinity berdasarkan prinsip ‘no find, no fee’, yang bermaksud kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran sekiranya pesawat tersebut tidak ditemukan.
Pesawat milik Malaysia Airlines bagi penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang itu hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac 2014. – WILAYAHKU