Berita

Pencarian mangsa tanah jerlus terarah ke lokasi titik akhir

Foto: DBKL
- Diterbit 27 Ogos 2024 2:14 PM MYT

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga India yang terjatuh akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India, diteruskan pencarian ke lokasi titik terakhir (end point) loji Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) di Pantai Dalam.

Agensi keselamatan yang terbabit dalam pasukan SAR itu terdiri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Indah Water Konsortium (IWK) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Jabatan Perancangan Korporat, DBKL berkata kerja-kerja menyelamat dan pemeriksaan akan dilakukan di setiap sudut.

“Pasukan SAR meneruskan kerja-kerja ‘flushing’ dan pemeriksaan fizikal ke setiap ruang yang ada kemungkinan mangsa terperangkap.

“Pasukan SAR juga telah melaksanakan kerja jetting dan pemeriksaan saluran paip kumbahan dan lurang kumbahan sehingga pukul 6.30 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut DBKL, kerja jetting bagi memecahkan debris berjaya bagi mengeluarkan sebarang halangan.

“Walau bagaimanapun, pemeriksaan menggunakan ‘push rod’ dan ‘crawler camera’ di lurang kumbahan satu sehingga ke lurang kumbahan di hadapan Wisma Yakin bagi mengesan kebarangkalian lokasi mangsa adalah negatif,” ujarnya.

Dalam kejadian pagi Jumaat lalu, mangsa warga India berusia 48 tahun dikenali Vijayaletchumy dilaporkan hilang selepas menjadi mangsa tanah jerlus sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.

Laporan kejadian itu diterima pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur pada pukul 8.22 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas