KERAJAAN Perpaduan yang bakal menginjak usia setahun tidak lama lagi terus berusaha memperkukuhkan kompetensi dan kewibawaan dalam mentadbir negara dengan komitmen ampuh membawa angin transformasi positif di segenap elemen kerajaan bagi menggerakkan harapan rakyat melihat Malaysia yang lebih makmur.
Salah satu kayu ukur pencapaian Kerajaan Perpaduan adalah sektor ekonomi yang menjadi fokus utama bagi menaikkan siling dan lantai ekonomi rakyat secara keseluruhan selari dengan tekad kerajaan untuk mengurangkan defisit dan inflasi negara.
Kadar inflasi negara yang telah mencatatkan rekod lebih rendah sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih tampuk pemerintahan negara sejak November tahun lalu kepada 2.8% berbanding 4.0% adalah salah satu bukti inisiatif pemulihan kerajaan sudah mula menunjukkan trend positif.
Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ts Nurul Aishah Ab Rahman berpandangan, prestasi inflasi negara yang baik ini kesan campur tangan kerajaan dalam menangani subsidi dan kawalan harga barang-barang keperluan yang disenaraikan dalam Kumpulan Indeks Harga Pengguna (IHP) seperti ayam, beras, dan minyak masak antara pendekatan yang telah membuahkan hasil bagi menurunkan kadar inflasi.

“Prestasi Peningkatan aktiviti ekonomi pada suku pertama 2023 turut membantu kepada pengembangan prestasi ekonomi Malaysia juga mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.3% lebih baik daripada negara serantau seperti Indonesia (5%) dan China (4.5%) seperti yang dilaporkan Kementerian Kewangan pada Mei 2023.
“Selain itu, usaha bagi merealisasikan penstrukturan semula ekonomi negara ini, turut dilihat menerusi inisiatif paling menonjol Kerajaan Perpaduan iaitu di bawah payung Rahmah yang merangkumi pelbagai bentuk produk dan bantuan daripada makanan hingga pakej-pakej perkhidmatan jalur lebar, kesihatan, malah termasuk pakej pelancongan yang menawarkan harga yang rendah yang mampu dimanfaatkan seluruh rakyat daripada pelbagai lapisan demografik, kuasa ekonomi dan pekerjaan,” ujar beliau.
Malah, inisiatif Rahmah telah mendapat peruntukan tambahan RM50 juta diperluas susulan keberkesanan dan sambutan yang menggalakkan daripada pemain-pemain ekonomi lain yang turut bersama menyahut aspirasi kerajaan bagi menangani isu kos sara hidup rakyat.
“Kesemua rantaian ekonomi yang menunjukkan perkembangan baik ini sekali gus telah menambah keyakinan pelabur-pelabur asing, termasuk dua syarikat gergasi seperti Tesla dan Amazon Web Service disifatkan ‘game changer’ yang dijangka mampu melonjakkan ekonomi dan daya saing Malaysia dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi di rantau ini dengan jumlah anggaran pelaburan berjumlah RM25.5 bilion bagi tempoh 15 tahun.
“Selain aspek ekonomi yang nyata mencatat rekod positif dalam pentadbiran kerajaan baharu ini, reformasi juga berlaku dari sudut sosiobudaya dan politik. Sebagai contoh, Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang akan diperkenal kepada pelajar-pelajar Islam sahaja di sekolah awam yang bertujuan untuk memupuk nilai-nilai sabda atau hadis Nabi Muhammad SAW di peringkat sekolah sekali gus memperbaiki modal insan dan semangat cintakan kepada agama terutama dalam kalangan umat Islam.
“Keterbukaan dan kesediaan Kerajaan Perpaduan untuk mendukung hak dan kebebasan bersuara juga bukan sekadar omongan kosong apabila komitmen itu telah dibuktikan dengan peningkatkan kedudukan Malaysia di tangga ke-73 Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 berdasarkan laporan Reporters Without Borders (RSF) berbanding di tangga ke-113 pada tahun sebelumnya,” ujar beliau kepada Wilayahku.
Tambah beliau lagi, di sektor reformasi politik, selain kesepaduan yang dizahirkan di antara rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan yang utuh dan sikap tolenrasi yang tinggi antara satu sama lain, di bawah pentadbiran baharu juga diperkenalkan beberapa inisiatif pembaharuan dalam kalangan ahli parlimen.
“Antaranya seperti sesi soal jawab PM dan bersama Menteri diperkenal, laporan audit negara dibahas dan tindakan tegas kepada ahli parlimen sekiranya menyentuh isu-isu 3R yang boleh mencetuskan sentimen ketegangan kaum di negara,” ujar beliau pelan pemulihan negara adalah kerangka reformasi MADANI yakni satu naratif integrasi dan kesepaduan yang pragmatik. – WILAYAHKU