MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata pencapaian baik 2024 perlu diteruskan dengan penambahbaikan yang bersungguh-sungguh demi rakyat.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama warga Jabatan Perdana Menteri buat kali pertama pada tahun ini.
“Perjumpaan tahun ini agak berbeza dari perjumpaan sebelum ini, di mana Tan Sri Ketua Setiausaha Negara telah menyorot kembali kejayaan demi kejayaan yang dikecapi oleh negara dan jentera perkhidmatan awam sepanjang tahun 2024 yang lalu.
“Lanjut, Perdana Menteri singgung dalam amanat beliau tentang kejayaan tersebut perlu disyukuri namun dengan pendekatan Islah Mastata’tu dan Itqan Fil ‘Amal, kejayaan tersebut perlu terus ditambahbaik dengan bersungguh-sungguh demi kebaikan rakyat terbanyak,” katanya.
Menurut Zaliha, antara pesanan yang dititipkan dalam amanat beliau adalah, tatakelola yang baik itu bukanlah terlalu ‘berhati-hati’ dalam melaksanakan keputusan tetapi menyegerakan apa yang perlu disegerakan.
Beliau berkata Perdana Menteri turut sentuh agar semua kementerian dan jabatan mendengar pandangan setiap seorang daripada warga perkhidmatan awam tanpa mengira pangkat atau gred mereka.
“Alhamdulillah, ini telah pun kita laksanakan di Jabatan Wilayah Persekutuan sejak tahun 2024 melalui pengenalan budaya kerja harmoni.
“Di mana tiada satu suara pun akan disisihkan dan perkara ini akan diteruskan dengan penambahbaikan yang lebih sistematik pada tahun ini,” katanya. – WILAYAHKU
[Iklan]