Berita

Pencabar pingat

ANIQ menjadi perhatian ramai pada Sukan Olimpik Paris 2024
- Diterbit 16 Ogos 2024 4:50 PM MYT

BADANG negara, Mohamad Aniq Kasdan mengakui gembira apabila sukan angkat berat mula meraih perhatian rakyat Malaysia selepas penampilan sulungnya di Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini.

Atlet kelahiran Segamat, Johor itu berkata sukan itu kini lebih dikenali terutamanya selepas dia membuktikan bahawa Malaysia mampu memberi tentangan pingat di temasya sukan terbesar dunia itu.

“Saya tak dapat pingat pun saya tengok pandangan orang ramai terhadap sukan ini sudah berbeza sekarang.

“Saya gembira sebab orang sudah nampak sukan angkat berat ini antara sukan yang boleh jadi pencabar pingat di Olimpik,” ujarnya.

Mohamad Aniq turut berazam untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang digeruni dalam sukan angkat berat di persada antarabangsa.

“Saya mahu buktikan perkara itu di Kejohanan Dunia tahun depan, mana tahu di Olimpik Los Angeles boleh dapatkan pingat juga,” ujarnya.

Mohamad Aniq menamatkan kempen di Paris pada tempat keempat dalam kategori 61 kilogram (kg) dengan mencatatkan rekod kebangsaan baharu angkatan keseluruhan 297kg iaitu 1kg mengatasi rekod kebangsaan miliknya sebelum ini.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas