JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mungkin tidak akan meneruskan tempoh empat tahun lagi untuk menebus impian pingat emasnya di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Pelumba berusia 36 tahun itu berkata beliau berjanji kepada keluarganya bahawa Paris 2024 akan menjadi sukan Olimpik terakhirnya selepas menjalani pembedahan jantung terbuka pada April 2022.
“Walaupun boleh terus bersaing hingga LA28 dengan menjaga tubuh badan dengan baik, saya merasakan keperluan untuk berehat selepas menghadapi tekanan dan cabaran dalam sukan itu selama hampir dua dekad dan ingin menyerahkan baton kepada generasi seterusnya.
“Meskipun akan berusia 40 tahun, jika menjaga badan dengan baik, saya tahu pelan tindakan, apa yang perlu dilakukan, memang susah tapi saya boleh lakukannya.
“Tapi selepas pembedahan jantung, ibu, isteri dan anak-anak memaksa saya untuk bersara dan saya sudah berjanji Paris adalah Sukan Olimpik terakhir.
“Jadi, saya tidak tahu kalau mereka bagi untuk teruskan. Pada satu ketika, saya masih mahu teruskan, ada semangat dalam diri tetapi saya percaya pada satu ketika perlu melangkah ke belakang juga. Mungkin akan berlumba untuk satu atau dua tahun lagi,” ujarnya.
10 Ogos lalu, Azizulhasni tidak dapat meneruskan saingan di Paris 2024 selepas dibatalkan penyertaan pada pusingan pertama acara keirin akibat kesalahan melintas pacer.
“Setakat ini saya belum ada pelan lengkap, saya ada banyak perancangan tapi saya cuma mahu berehat, meluangkan masa bersama keluarga dan relaks terlebih dahulu,” ujarnya.
Azizulhasni turut memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana menghampakan harapan semua untuk meraih pingat emas sulung.
Melangkah ke hadapan, Azizulhasni berkata beliau bersemangat untuk membantu atlet elit, meningkatkan atlet muda atau sebagai jurulatih tetapi belum ada rancangan lengkap lagi untuk menyumbang kembali kepada sukan selain menyiapkan Ijazah Sains Senaman Klinikalnya.
Sementara itu, beliau kecewa dengan pengadilan yang tidak konsisten dan dengan cara tertentu perkara-perkara dikendalikan di peringkat antarabangsa sukan tersebut. – WILAYAHKU